Kelantan usaha bekal air bersih cukup kepada rakyat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan berusaha sedaya mungkin untuk membekalkan air bersih yang mencukupi kepada rakyat negeri ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Dr Izani Husin, berkata antara masalah yang dihadapi sumber air, loji rawatan dan paip lama yang kerap kali mengalami kerosakan.

Katanya, masalah sumber air Kelantan diambil dari bawah tanah dan ia mengandungi sumber mineral yang tinggi menyebabkan air menjadi warna merah dan coklat (berkarat).

Menurutnya, untuk mengatasi masalah itu, memerlukan proses rawatan yang mengambil masa dan menggunakan kos yang tinggi.

“Paip lama ada yang berusia lebih 40 tahun sudah tidak boleh tambah tekanan dan jika tambah tekanan ia akan pecah. Ini bukan alasan kerana ia berlaku dan pekerja perlu mengorek untuk membaiki paip ini.

“Kalau kita boleh dapat peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk menilai serta mempercepatkan (peruntukan) untuk buat loji di samping penukaran paip,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Cabutan Kerja Undi Mega JKT Cawangan Kejuruteraan Elektrik Negeri Kelantan di Dewan Teratai di sini, hari ini.

Dr Izani berkata, kerajaan negeri juga akan membuat program dengan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) untuk membekalkan air kepada rakyat termasuk menggunakan lori kontrak.

“Kita juga memerlukan kerjasama orang ramai supaya mereka yang mempunyai tangki dapat menyimpan air untuk kegunaan ketika waktu kecemasan.

“Insya-Allah, 2028 kita dapat menyelesaikan sumber air dan melihat air ini satu benda yang penting dan diutamakan demi penduduk negeri ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/3/2024

- Advertisement -