Ibu hamil tujuh bulan menggigil melihat api marak

- Advertisement -

PASIR MAS: Ibu yang hamil tujuh bulan hanya mampu memeluk anaknya dalam keadaan menggigil melihat api marak memusnahkan kediamannya petang semalam.

- Advertisement -

Siti Rohaya Abdullah, 35, berkata ketika kejadian beliau dan anak bongsu, Muhammad Rayyan Afiq Ropee, 3, berada di rumah.

Katanya, beliau bersyukur kerana berjaya keluar menyelamatkan diri dan anak selepas melihat api marak di bilik bahagian atas rumahnya.

“Luluh hati saya mengingatkan kejadian semalam apabila kesemua anak meraung kesedihan menyaksikan kediaman kami terbakar,” katanya ketika ditemui di tapak kejadian di Kampung Tok Rusa hari ini.

Menurutnya juga beliau dan suami, Ropee Yusoff, 42, tidak sempat menyelamatkan barangan termasuk dokumen penting pada kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu.

Lebih menyedihkan lagi kata beliau pakaian dan peralatan sekolah tujuh anaknya yang baru sahaja dibeli turut musnah.

“Kereta jenis Kia Carens milik keluarga dan kereta Nissan Sentra milik pelanggan juga musnah terbakar. Suami sudah memaklumkan kepada pemilik kereta berkenaan,” ujarnya.

Siti Rohaya bersama suami dan tujuh anak sekarang tumpang berteduh di rumah ibunya yang terletak di sebelah rumahnya.

Menurutnya juga rumah ibunya begitu usang dan hanya berdinding zink.

“Kami sekeluarga hanya mampu reda dan berharap agar ada sinar rezeki selepas ini. Apa yang penting semua anak saya selamat,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/3/2024

- Advertisement -