Tiada kompromi terhadap ajaran sesat ‘Ayah Pin’

Dr Riduan Mohamad Nor
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan ajaran sesat ‘Ayah Pin’ yang cuba dihidupkan semula oleh pengikut setianya di sekitar Besut.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, tindakan tegas juga akan diambil kepada masyarakat yang terlibat dalam gerakan tersebut.

“Kita akan terus mendidik masyarakat dan memberitahu bahawa mesti menjauhi ajaran Ayah Pin yang bercanggah dengan syariah Islam, memang kita tidak nafikan ada penyokong dia masih tegar berusaha untuk menyebarkan ajaran tersebut.

“Pihak kerajaan negeri akan berusaha mengambil tindakan tegas. Di peringkat akar umbi kita akan memastikan gerakan ini tidak disebarkan dan memantau supaya mereka tidak mengembangkan ajaran mereka,” ujarnya.

Terdahulu, sebuah hantaran di akaun Facebook ‘Imam Muda Kulan’ atau nama sebenarnya, Tengku Azlan Raja Mamat yang merupakan Imam Masjid Gong Pasir, Besut pada Jumaat lalu mendedahkan ajaran Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad cuba dihidupkan kembali oleh gerakan pihak-pihak tertentu di sekitar Besut. 

Riduan sekali gus tidak menafikan kumpulan berkenaan kebelakangan ini cuba menghidupkan kembali gerakan atau perjuangan Ayah Pin.

Beliau berkata, risikan pihak berkuasa mendapati ajaran sesat tersebut telah mula bertapak di Pekan dan Rompin, Pahang.

“Ajaran Ayah Pin mula dikembangkan di luar daripada Batu 13, dipercayai telah merebak ke kawasan Jerteh, dan juga di sebelah Pahang terutamanya di Pekan dan Rompin.

“Gerakan menghidupkan semula ‘Kerajaan Langit’ tersebut dipandang serius oleh Kerajaan Negeri Terengganu,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga mempunyai perancangan untuk memastikan pemulihan akidah supaya masyarakat Hulu Besut tidak terpengaruh dengan ajaran berkenaan.

“Pihak pejabat agama telah memberi jaminan akan mengadakan rondaan dan pemantauan dengan bantuan oleh pihak keselamatan dan polis bagi memastikan tiada unsur yang mengancam keselamatan negara dan menggugat keselamat awam,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/3/2024

- Advertisement -