Qaryah Ramadan di Kadok turut dapat sambutan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebelum ini orang ramai hanya mengenali Madinah Ramadan yang dianjurkan setiap kali Ramadan di Dataran Warisan, pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV.

- Advertisement -

Namun, di Kadok di kawasan parlimen Ketereh diwujudkan Qaryah Ramadan yang dikendalikan Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI) bertempat di Masjid Mukim Kadok.

Qaryah Ramadan tersebut sudah beroperasi sejak tujuh tahun lalu, namun ditambah fasiliti bagi menceriakan masjid terbabit melibatkan kos sebanyak RM90,000 hasil sumbangan penduduk tempatan.

Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, Qaryah Ramadan turut mendapat sambutan menggalakkan penduduk tempatan.

Katanya, dengan adanya Qaryah Ramadan di Kadok membolehkan orang ramai di kawasan sekitar datang menunaikan solat tarawih di Masjid Kadok.

“Alhamdulillah, kita bersyukur dan berbangga rakyat Kelantan terkenal sebagai masyarakat yang cintakan agama dan rajin belajar.

“Dan kita berharap situasi tersebut akan berkekalan bukan hanya ketika bulan Ramadan sahaja,” katanya ketika berucap merasmikan Qaryah Ramadan di Masjid Mukim Kadok, malam tadi. (Foto atas)

Turut hadir anggota Exco kerajaan negeri Hilmi Abdullah, ADUN Kadok Dato’ Azami Mohd Nor dan ADUN Salor, Saizol Ismail. – HARAKAHDAILY 18/3/2024

- Advertisement -