Usaha terancang cabar undang-undang syariah

Tuan Guru Abdul Hadi Awang
- Advertisement -

PADA 6 April 2017 Ahli Parlimen Marang Tuan Guru Abdul Hadi Awang membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian. Ia bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 (RUU 355).

- Advertisement -

Presiden PAS menjelaskan pindaan itu bertujuan memperkasakan mahkamah syariah dan meningkatkan hukuman jenayah sedia tanpa membabitkan masyarakat bukan Islam.

Selepas usul tersebut dibentang ia ditangguh tanpa dibahas. Pertama kali dalam sejarah kerajaan Barisan Nasional (BN) membenarkan usul persendirian dibentang pembangkang.

Mungkihkah ada sesuatu petanda? Rupanya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tanggal 9 Mei 2018 kerajaan BN ditolak majoriti rakyat.

Mungkin juga kerana usul bagi mengangkat martabat mahkamah syariah dibiarkan tanpa mendapat kelulusan.

Kemudian rakyat meletak pengharapan tinggi kepada kerajaan baharu diterajui Pakatan Harapan (PH). Malangnya tiada khabar mengenai usaha tersebut.

Hanya selepas kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) muncul beberapa usaha dilakukan. Diwujudkan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Jawatankuasa itu diarah mengkaji penambahbaikan undang-undang syariah khususnya berkenaan kesalahan jenayah syariah.

“Kerajaan mempunyai Pelan Pemerkasaan Undang-undang Syariah sehingga tahun 2025 yang melibatkan penggubalan empat akta baru dan pindaan terhadap tujuh akta sedia ada.

“Dalam isu RUU 355 kerajaan komited meneruskan usaha pindaan secara tertib dan teratur. Sekarang sedang menuju ke fasa rundingan bersama negeri-negeri,” kata bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menetri (Hal Ehwal Agama) Dr Ahmad Marzuk Shaary.

Ia bermakna road map sudah ada. Dan dianggap lebih mudah bagi kerajaan Madani meneruskan draf yang sudah terhidang.

Bagaimanapun ia tidak berlaku begitu. Kerajaan Madani mewujud pula Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan dengan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menteri Hal Ehwal Agama Dr Na’im Mokhtar dilapor berkata, jawatankuasa itu akan menyediakan laporan hasil kajian dan pandangan terhadap semua isu berbangkit.

Ia diletak sasaran dalam tempoh enam bulan atau tidak melebihi setahun.

Menurutnya laporan itu akan dibentangkan kepada mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja untuk diperkenan sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Tidak bimbang?

Menteri juga dilapor menyebut masyarakat tidak perlu bimbang tentang keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin yang dikatakan melemahkan kuasa mahkamah syariah.

Sedangkan sebelum ini ramai bimbang peluang pelbagai pihak untuk mencabar enakmen jenayah syariah di semua negeri.

Sebelum ini keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra lawan Kerajaan Selangor berkaitan bidang kuasa negeri menggubal undang-undang jenayah Islam memeranjatkan.

Ramai peguam menyifatkan Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berbeza berbanding sebelum ini. Ia sekali gus mengehadkan lagi bidang kuasa negeri menggubal jenayah syariah.

Berdasar fakta kes, Iki Putra didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat. Namun, individu terbabit mencabar peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Dia dilapor mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat.

Ekoran itu bekas Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dilapor berkata, kes Iki Putra akan memberi kesan domino yang boleh menjatuhkan satu persatu undang-undang syariah peringkat negeri.

Ternyata Nik Elin menjejaki apa yang dilakukan Iki Putra. Dan apabila menteri menyatakan orang ramai tidak perlu bimbang keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin, ia tentu meragukan.

Ini kerana apa yang berlaku di Selangor sudah menjalar ke Kelantan.

Oleh itu ramai mendesak perlu ada political will kerajaan sekarang. Banyak desakan dibuat termasuk meminda perlembagaan bagi memberi kuasa kepada mahkamah syariah.

Malah Akta 355 kali terakhir dipinda pada tahun 1984 bagi menaikkan hukuman daripada had denda maksimum RM1,000 kepada RM5,000.

Kebimbangan umat Islam ada asas kerana bukti telah berlaku di hadapan mata.

Keliru

Malangnya apa yang berlaku sekarang masih ramai keliru terhadap Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 Seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Kelantan.

Mereka termasuk juga bergelar sarjana dan felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

“Apa yang diputuskan oleh mahkamah ialah DUN Kelantan melampaui bidang kuasanya apabila meluluskan beberapa perkara yang berada di bawah bidang kuasa Dewan Rakyat,” ujar seorang felo.

Tulisannya disiarkan di sebuah akhbar Khamis minggu lepas. Seorang peguam turut mendakwa keputusan Mahkamah Persekutuan tidak menggugat mahkamah syariah. 

Mahkamah Persekutuan pada Februari lepas membatalkan 16 seksyen dalam Kanun Jenayah Syariah Kelantan (I) 2019. Ia dianggap bertentangan dengan Perlembagaan.

Menjelaskan isu tersebut Menteri Besar Kelantan, Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, 16 seksyen yang dibatal Mahkamah Persekutuan akan dikaji dan digubal semula kerajaan negeri.

Menurutnya, kerajaan negeri akan mempertahankan Kanun Jenayah Syariah selaras dengan komitmen semua Majlis Agama Islam yang terdapat di Malaysia.

“Ini kerana tujuh negeri mempunyai seksyen yang hampir serupa dalam Kanun Jenayah Syariah Kelantan. Menjadi kewajiban orang Islam tanpa mengira fahaman politik mempertahankan perundangan syariah,” katanya.

Lagi pun sudah dijelaskan Perkara 3 – Islam ialah Agama bagi Persekutuan.

Dan Perkara 8 (1) menjelaskan ‘Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang’.

Mantan Ketua Hakim Syarie Perak Muhamad Asri Abdullah pula berkata, undang-undang awam terpakai untuk semua orang, manakala negeri-negeri mempunyai undang-undang diri atau personal laws.

“Apabila seseorang ingin berkahwin, maka dia akan merujuk kepada undang-undang agamanya untuk menentukan keesahan perkahwinan yang akan dilangsungkan.

“Jika ia melakukan nahi mungkar ia juga boleh dihukum mengikut hukuman kesalahan tersebut.

“Itulah sebabnya kenapa undang-undang Islam diletak di bawah bidang kuasa negeri yang dikhaskan untuk orang Islam. Walaupun demikian punca kuasanya juga dari Perlembangaan. Ini dijelaskan oleh Perlembagaan,” katanya pada kenyataan. 

Menjelaskan lanjut perkara itu bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, KJS (II) biar pun diluluskan di Dun Kelantan pada 1993, namun tidak dapat dilaksanakan kerana bidang kuasa yang ada terhad.

“Sudah lama dilulus namun tidak dapat dilaksanakan kerana peranan mahkamah syariah tidak diberi bidang kuasa yang mencukupi bagi melaksanakan qisas, hudud dan takzir.

“Kita telah angkat cadangan diadakan perbahasan RUU Akta 355 bagi memberi kuasa yang lebih kepada mahkamah syariah. Kita sudah ada tapak. Lagipun mahkamah syariah lebih dekat kepada kita,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, undang-undang berkembang mengikut suasana setempat dan semasa. Tegas beliau undang-undang syariah berakar daripada al Quran.

Menjawab isu yang dibangkit seorang fellow IKIM, contohnya Seksyen 41 berkaitan muamalat riba tiada dalam undang-undang persekutuan, namun mengapa dibatalkan juga Mahkamah Persekutuan. 

Dr Mohamed Fadzli juga berkata, Parlimen tidak boleh buat undang-undang yang bersifat diskriminasi contohnya amalan riba.

“Kes tersebut akan membuka pintu kepada cabaran-cabaran di enam negeri yang mana peruntukan hampir serupa dengan Kelantan.

“Kita dituduh berpolitik dalam hal ini, namun kita tetap bergerak. Malah ketika Mahkamah Persekutuan bersidang pihak bukan politik turut hadir sebagai sahabat mahkamah,” ujarnya.

Beliau menegaskan ini bukan isu politik sebaliknya serangan terhadap perundangan syariah. Lebih mendukacitakan lagi bantahan kerajaan Kelantan telah ditolak mahkamah. – HARAKAHDAILY 15/3/2024

- Advertisement -