Kelantan bincang dengan menteri, bas Thailand disekat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Hasrat rombongan pelancong dari Thailand untuk memasuki Kelantan bagi menyemarakkan Tahun Melawat Kelantan 2024 tidak menjadi kenyataan apabila disekat di sempadan Malaysia.

- Advertisement -

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, beliau menerima maklumat daripada ejen pelancongan selatan Thailand ada rombongan pelancong tidak dibenarkan masuk ke Kelantan menggunakan bas.

Katanya, larangan tersebut dibuat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di kawasan sempadan Thailand-Kelantan.

“Barangkali APAD bermaksud untuk memberi peluang kepada pengusaha pengangkutan tempatan membawa pelancong dari Thailand,” katanya selepas melawat buffet Ramadan Cita rasa Serantau di sebuah hotel di sini petang semalam. (Foto atas)

Oleh itu, kata beliau kerajaan Kelantan berhasrat mengadakan perbincangan dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkenaan halangan kemasukan bas dari Thailand ke negeri sempadan termasuk Kelantan.

Menurutnya, surat permohonan untuk pertemuan tersebut kepada Kementerian Pengangkutan akan dihantar secepat mungkin.

“Perbincangan dengan menteri berkenaan tidak hanya melibatkan Kelantan tetapi juga beberapa negeri bersempadan dengan Thailand seperti Perak, Kedah dan Perlis yang menghadapi isu serupa,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/3/2024

- Advertisement -