Jangan ancam keharmonian kaum dalam negara 

Dr Halimah Ali
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa disaran membuat siasatan menyeluruh terhadap dakwaan nota ugutan yang ditujukan pada seorang pemimpin kanan DAP, Nga Kor Ming.

- Advertisement -

Ketua Portfolio Perpaduan Negara PERIKATAN NASIONAL (PN), Dr Halimah Ali berkata, siasatan dapat membuktikan terdapat unsur ugutan, mereka yang bertanggungjawab perlu segera dibawa ke muka pengadilan demi menjamin dan memelihara keharmonian rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Katanya, memandang serius dakwaan itu kerana ugutan keganasan adalah perbuatan yang tidak diterima Islam serta bertentangan dengan undang-undang negara.

“PN juga menyeru agar tindakan ‘membaling batu, menyembunyi tangan’ seumpama ini dihentikan serta-merta.

“Jangan, sesekali membuka ruang kepada sebarang tindakan yang mengancam apa lagi menjejaskan hubungan kaum dalam negara,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sejajar dengan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, PN menolak apa sahaja unsur ekstremisme dan keganasan.

“Sebarang perbezaan jika ada sewajarnya diselesaikan melalui proses dialog dan perbincangan secara matang.

“Ini adalah satu-satunya pendekatan yang efektif bagi menyelesaikan sebarang konflik atau perbezaan sesama kaum di dalam negara kita,” ujarnya yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat.

Dr Halimah berkata, sebarang bentuk penggunaan ancaman mahupun keganasan hanya akan mengundang tindak balas pihak lain yang nanti akan merugikan negara.

Oleh itu, ujarnya PN menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dakwaan ugutan berkenaan agar tampil memberi kerjasama kepada pihak berkuasa. – HARAKAHDAILY 8/3/2024

- Advertisement -