‘Insya-Allah, inilah kekuatan kita pada waktu ini’

Dato' Seri Hamzah Zainudin. (Foto HARAKAHDAILY oleh Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PERIKATAN NASIONAL (PN) memerlukan buah fikiran daripada pelbagai pihak demi memahami sentimen rakyat terutamanya yang terpalit dalam isu kos sara hidup.

- Advertisement -

Setiausaha Agungnya, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, wakil rakyat PN perlu merangka analisis secara menyeluruh dan menentukan bagaimana dan solusi serta strategi yang harus digunakan untuk membantu rakyat.

Menurutnya, kelebihan ahli politik yang berpengalaman dapat membaca situasi politik dengan bermacam-macam cara dan naluri yang ada pada mereka dapat membantu sesebuah parti.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan pada Konvensyen Wakil Rakyat PN di Hotel Sunway Putra, di sini, hari ini.

“Sudah ramai dalam kalangan kita yang boleh dianggap ahli politik yang berpengalaman. Saya ingin maklumkan di sini, yang paling berpengalaman, yang penuh dengan naluri, tidak lain dan tidak bukan iaitu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Yang baru bergelar ‘Yang Berhormat’ boleh belajar dari otai-otai kita yang ada kat sini. Yang berpengalaman pula, jangan takut turunkan ilmu kepada orang-orang baru, kerana ‘ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya’.

“Kita juga perlukan kepakaran, kekuatan serta kebolehan anak-anak muda. Ramai anak muda yang berbakat dalam PN. Kita ada ahli profesional, kita ada aktivis, kita ada ikon sukan, kita ada semuanya. Insya-Allah inilah kekuatan kita pada waktu ini,” katanya.

Ahli Parlimen Larut itu percaya jika digabungkan semua kepakaran itu akan menjadi kekuatan kepada PN.

“Parti PN akan menjadi teras yang menggerunkan dan kekuatan inilah yang dibimbangi dan ditakuti oleh kerajaan pimpinan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hingga pelbagai usaha untuk menekan kita.

“Sebab itu, jangan ada perbezaan antara kita. Jangan ada sikap masing-masing dengan haluan sendiri. Bahtera PN ini harus belayar dengan dukungan kita semua.

“Kita harus bersama. Pemimpin, pengikut dan ahli parti perlu menjadi satu unit. Wujudkan hubungan yang baik sesama kita dan seluruh penyokong kita di bawah sana,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap agar PN dapat membina identiti yang jelas dan sama yang boleh memenangi hati dan minda rakyat.

“Identiti yang menzahirkan sebuah harapan yang boleh diterima semua lapisan masyarakat tanpa dibezakan dengan batasan kaum, agama dan warna kulit,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/3/2024

- Advertisement -