Petronas perlu utamakan syarikat bumiputera

Datuk Ahmad Amzad Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim melahirkan rasa kesal kerana cabang tenaga hijau Petronas , Gentari Sdn Bhd dilaporkan telah melantik syarikat bukan bumiputera, Solarvest Energy Sdn Bhd untuk memasang sistem kuasa solar di lebih 300 stesen Petronas di seluruh negara.

- Advertisement -

Beliau berkata, perkara itu berlaku di sebalik penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang dikatakan menjadi landasan penting bagi memperkasakan ekonomi golongan bumiputera.

“Saya merasa amat kesal dengan pengumuman tersebut kerana pada dasarnya, negara ini mempunyai banyak syarikat yang berkepakaran dalam industri tenaga solar seperti Gading Kencana Sdn Bhd, Uzma Berhad dan lain-lain lagi.

“Ada kira-kira 60 syarikat bumiputera yang berdaftar di bawah Sustainable Energy Development Authority (SEDA) tetapi mengapa Petronas memilih untuk menganugerahkannya kepada syarikat bukan bumiputera tanpa tender?

“Saya difahamkan bahawa Petronas telah memanggil tiga syarikat untuk membuat tawaran terhadap pemasangan sistem solar itu,” ujar beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dalam satu kenyataan, hari ini.

Namun begitu katanya, yang menyedihkan adalah tidak ada satu pun syarikat bumiputera dipanggil untuk mengemukakan tawaran tersebut dan adalah satu bentuk penindasan kepada golongan bumiputera.

Beliau turut mengajukan persoalan itu dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dan meminta penjelasan daripada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli namun jawapan yang diberikan terlalu umum, kabur dan tidak menepati soalan.

“Beliau (Rafizi) hanya menjelaskan bahawa kerajaan sedang mengenalpasti enjin-enjin pertumbuhan baharu untuk melonjakkan penyertaan ekonomi usahawan negara ke dalam rantaian nilai antarabangsa.

“Tambahnya lagi, kerajaan akan memperhalusi penyertaan usahawan bumiputera mengambil risiko menyertai sektor-sektor seperti peralihan tenaga, digital, pertanian moden, serta sektor elektrik dan elektronik.

“Sehingga kini saya masih belum mendapat jawapan, adakah kerajaan berpendapat bahawa syarikat bumiputera yang sudah menapak lama dalam industri ini tidak berkemampuan untuk melaksanakan projek tersebut dengan jayanya?

“Saya mendesak kerajaan menjelaskan justifikasi Petronas memilih Solarvest Energy Sdn Bhd dan bukannya syarikat bumiputera kerana PETRONAS sepatutnya memberikan peluang kepada syarikat bumiputera,” ujarnya.

Tegas beliau, ia memandangkan kewujudan Petronas itu sendiri adalah atas sokongan golongan bumiputera dan berpendapat ia adalah langkah yang terbaik untuk merapatkan jurang ekonomi bumiputera agar mereka tidak ketinggalan.

Tambahan pula ujarnya, Pengerusi Bursa Malaysia telah melaporkan bahawa hanya satu daripada 97 syarikat yang disenaraikan mempunyai majoriti saham bumiputera dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Perkara tersebut kata beliau, amat membimbangkan dan mencerminkan penyertaan sebenar kaum bumiputera dalam sektor perniagaan.

“Saya menzahirkan kebimbangan terhadap kemajuan syarikat bumiputera sekiranya penyertaan mereka dalam pelbagai sektor dan bidang tidak disambut baik oleh syarikat-syarikat gergasi kerana ia sepatutnya menjadi fokus utama semua pihak ketika ini,” ujarnya.

Justeru itu, beliau mendesak agar syarikat bumiputera diberikan lebih ruang dan peluang untuk terlibat dalam sektor-sektor strategik kerana ini akan membantu melonjakkan ekonomi mereka seterusnya meningkatkan kadar pemilikan ekuiti bumiputera di Bursa Malaysia. – HARAKAHDAILY 8/3/2024

- Advertisement -