Kenaikan SST wajar ditangguh sehingga ekonomi pulih

Muhammad Ismi Mat Taib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seluruh rakyat Malaysia sudah pasti akan merasai peningkatan kos sara hidup dengan kenaikan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) lapan peratus serta perluasan skop cukai itu.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, walaupun tidak semua perniagaan yang dikenakan kenaikan kadar SST lapan peratus tersebut, ia tetap akan memberi kesan negatif kepada keseluruhan rantaian bekalan ekonomi negara.

“Kenaikan kadar SST ini akan memberi kesan segera kepada peningkatan kos perniagaan, yang akhirnya akan di salurkan oleh peniaga kepada pengguna melalui harga barangan dan perkhidmatan yang lebih tinggi,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Oleh itu, beliau ingin mencadangkan agar kerajaan menangguhkan kenaikan kadar SST ekoran daripada kejatuhan nilai ringgit yang berlaku pada ketika ini.

Menurutnya lagi, penangguhan kenaikan SST daripada enam peratus kepada lapan peratus yang dikuatkuasakan bermula bulan ini perlu diambil sebagai langkah segera untuk mengawal kadar inflasi sehinggalah ekonomi negara benar-benar pulih.

Katanya, perkara itu turut disentuh semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Selasa lepas.

Beliau juga menyebut bantahan berkenaan isu pemansuhan pencen bulanan bagi penjawat awam yang berstatus tetap oleh Kerajaan Persekutuan bagi meraikan sumbangan mereka selaku tulang belakang kepada perkhidmatan awam. 

“Tidak dilupai, saya menyebut beberapa isu dan permasalahan di Parlimen Parit seperti keperluan Klinik Kesihatan Pekan Parit yang baharu, status perkembangan cadangan pembinaan lapangan terbang berhampiran Felda Nasarudin, Bota,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau melahirkan harapan agar segala isu dan permasalahan yang dibangkitkan itu akan dijawab dengan secara lengkap oleh setiap kementerian yang berkaitan pada sesi penggulungan yang akan bermula minggu hadapan. – HARAKAHDAILY 8/3/2024

- Advertisement -