Tiada kelulusan baharu rumah urut di Kedah

Mejar (B) Mansor Zakaria
- Advertisement -

ALOR SETAR: Tiada kelulusan untuk lesen baharu rumah urut, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria.

- Advertisement -

Sebaliknya, jelas beliau kerajaan negeri hanya akan mempertimbangkan permohonan pusat kecantikan dan kesihatan (spa) yang menepati syarat dan terma yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya,, tindakan itu sebagai langkah membanteras kegiatan tidak bermoral di negeri ini.

“Rumah urut sedia ada akan dibenarkan terus beroperasi selagi mematuhi peraturan tetapi PBT tidak akan melulus atau mengeluarkan lesen bagi permohonan baharu,” katanya semasa menjawab soalan Ahmad Pared Mahamud (Bersatu-Kuah) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini.

Pared ketika mengajukan soalan memohon penjelasan mengenai dasar kerajaan negeri berhubung operasi pusat kecantikan dan kesihatan (spa) di Langkawi bagi memenuhi permintaan pengunjung asing.

Dalam pada itu kata Mansor, pihaknya tidak menumpukan pusat-pusat seperti itu (spa dan rumah urut) sebagai tarikan ke Pulau Lagenda itu, sebaliknya lebih memfokuskan kepada promosi warisan, budaya, makanan dan lain-lain.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil itu lagi, kerajaan negeri lebih memberi penekanan kepada pencegahan daripada memberikan lebih banyak ruang kepada orang ramai melakukan sesuka hati sehingga boleh menimbulkan implikasi kepada negeri.

“Walau bagaimanapun, pusat kesihatan dan kecantikan (spa) masih dibenarkan beroperasi untuk memenuhi keperluan pengunjung asing dan ia termaktub di bawah undang-undang kecil kerajaan tempatan.

Justeru, pihaknya mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin membuka pusat berkenaan tetapi perlu bersedia mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh PBT. – HARAKAHDAILY 7/3/2024

- Advertisement -