Terokai konsep pelancongan ‘health tourism’ di Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Tuanku Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah menyarankan kerajaan negeri meneroka pelancongan berkonsep ‘health tourism’ yang berteraskan alam semula jadi dan warisan.

- Advertisement -

Titah baginda, hal itu selaras dengan trend permintaan oleh komuniti global, khususnya warga emas dan kelompok berpendapatan tinggi.

Malah titah baginda perkara itu juga merupakan usaha yang tepat ke arah Tahun Melawat Kedah 2025 akan datang agar produk pelancongan mengikut trend pelancongan semasa.

“Sektor pelancongan mempunyai nilai tambah yang tinggi kepada negeri, sektor ini wajar dikembangkan dengan potensi sumber dan aset pelancongan dimanfaatkan sepenuhnya.

“Usaha kerajaan negeri untuk menganjur Tahun Melawat Kedah 2025, adalah satu usaha yang tepat dengan trend pelancongan semasa,” titah ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah kali ke-15 di Wisma Darul Aman, hari ini.

Baginda turut menyentuh berkenaan pembangunan pelancongan di Pulau Langkawi yang menjadi permata Kedah ketika ini.

Baginda menyarankan Langkawi perlu diperkasa dengan menaik taraf produk pelancongan sedia ada agar menepati keperluan pelancongan semasa.

Titah baginda lagi, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memastikan konsep pembangunan Langkawi mengekalkan keindahan dan persekitaran alam agar pulau itu kekal dengan ciri keindahan semula jadi.

Justeru tambah baginda, projek enabler pelancongan seperti menaik taraf Jeti Kuala Kedah perlu disegerakan bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengunjung ke Pulau Lagenda itu.

Dalam perkembangan yang sama, baginda juga berharap promosi pelancongan melibatkan tanah besar Kedah turut diberi penekanan, digiat serta diberi perhatian, di mana produk pelancongan sedia ada perlu digilap serta tempat-tempat pelancongan baharu yang mempunyai nilai impak dibangunkan.

“Produk pelancongan sedia ada perlu digilap serta tempat-tempat pelancongan baharu yang mempunyai nilai impak tinggi perlu dibangunkan.

“Ketamadunan Kedah Tua yang berpusat di Sungai Batu juga perlu diberi perhatian melalui pembangunan prasarana yang setimpal dengan kekayaan nilai sejarahnya.

“Beta percaya sekiranya strategi, promosi dan penyediaan infrastruktur dilaksanakan secara rapi mulai tahun ini, program Tahun Melawat Kedah 2025 akan menjadi platform yang dapat mengangkat negeri setanding dengan destinasi pelancongan global,” titah baginda lagi. – HARAKAHDAILY 4 Mac 2024

- Advertisement -