
ARAU: Sebanyak 1,000 kuntum bunga segar diedarkan kepada pengunjung wanita sempena Sambutan Hari Wanita di tapak Pesta Angin Timur yang berlangsung pada 1 hingga 3 Mac lepas.
Pengarah program, Norhasmayati Che Mee berkata, sambutan itu sebagai tanda penghargaan kepada golongan tersebut yang menjadi tunjang dalam kehidupan masyarakat.
“Alhamdulillah, kita dapat edarkan 1,000 kuntum bunga kepada pengunjung wanita yang hadir ke Pesta Angin Timur.
“Rata-rata pengunjung terharu dengan pemberian bunga tersebut apatah lagi bunga segar yang sudah pasti memikat hati mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Wan Badariah Wan Saad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Marzita Mansor dan Timbalan Pengerusi Wanita PERIKATAN NASIONAL (PN) Perlis, Norshahirah Mat Salleh.
Menurut Norhasmayati, pemberian bunga segar itu sebagai tanda penghargaan terhadap peranan penting kaum wanita dalam kehidupan sosial, ekonomi dan politik negara.
“Golongan wanita merupakan tunjung dalam kehidupan masyarakat, jika elok kaum wanita maka eloklah masyarakat tersebut. Jika rosak, maka masyarakat juga akan turut kecundang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/3/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!