Pemberi Pinjam Wang Berlesen jadi macam Ah Long?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) diminta menyatakan komitmen untuk menambah baik Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 atau Akta 400 bagi mengekang aktiviti ceti haram yang semakin merebak dalam masyarakat.

- Advertisement -

Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) malah berkata, ada kalangan Pemberi Pinjam Wang (PPW) yang diberi lesen oleh pihak berkuasa bertindak seperti Ah Long apabila menggunakan ugutan kekerasan untuk mendapatkan semula wang dipinjam oleh mangsa.

Beliau berkata, kerajaan perlu meningkatkan hukuman dan denda lebih tinggi bagi memberi kesedaran kepada peminjam tidak berlesen dan memupuk kesedaran rakyat supaya menjauhi pinjaman Ah Long yang memberi keburukan lebih tinggi kepada kehidupan.

“Saya minta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan sama ada kerajaan berhasrat untuk meminda Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 atau Akta 400 bagi mengekang gejala PPW haram yang memberi pinjaman yang mudah kepada individu memerlukan dan terdesak.

“Usaha ini juga bagi meningkatkan hukuman bagi menangani masalah Pemberi Pinjam Wang (PPW) yang berkelakuan seperti Ah Long,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, Parlimen di sini sebentar tadi.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Dato’ Raj Munni Sabu berkata, pihaknya tidak mempunyai perancangan untuk meminda peruntukan di bawah Akta 400 termasuk melaksanakan hukuman bagi pelanggaran akta yang dilakukan oleh PPW mempunyai berlesen.

Beliau berkata, peraturan sedia ada termasuk hukuman penjara dan jumlah denda ditetapkan di bawah akta tersebut sudah memadai sebagai punca kuasa perundangan kepada kementerian bagi mengawal selia aktiviti industri PPW, selain melindungi kepentingan peminjam.

Ahli Parlimen Sepang itu menjelaskan kementerian tersebut terus proaktif dalam melaksanakan penguatkuasaan sistem perundangan negeri menerusi pemantauan berkala terhadap premis syarikat PPW dengan memberi tumpuan sekurang-kurangnya 850 premis PPW setiap tahun.

“Orang awam pula dinasihatkan untuk berhati-hati dan terus cakna dengan hak-hak peminjam bagi memastikan mereka tidak menjadi mangsa kepada Ah Long dan semakan status perlesenan syarikat boleh dibuat melalui aplikasi mudah alih i-KrediKom bagi semenanjung.

“Selain itu boleh mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa perlesenan PPW bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, sebarang aduan perlanggaran Akta 400 boleh dikemukakan terus melalui sistem pengurusan aduan awam di pautan kpkt.spab.gov.my,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/3/2024

- Advertisement -