Israel negara perompak

- Advertisement -

PENUBUHAN negara Israel tidak sah dari segi sejarah, agama dan politik, kerana ia dilakukan secara rompakan dengan memaksa penduduk asal Palestin yang paling awal berhak ke atasnya. Tanah air rakyat Palestin dirampas secara kekerasan dengan membunuh, merampas rumah kediaman, perniagaan dan kebun kepunyaan mereka sejak beberapa abad lamanya.

Dakwaan hanya bangsa Yahudi daripada keturunan Semitik yang berhak adalah salah dan sesat, kerana rumpun Semitik termasuk juga bangsa Arab dan lain-lain, bukan sahaja kaum Yahudi. Kemudiannya, berlaku percampuran dengan keturunan Ham dan Yafith daripada tiga orang anak Nabi Nuh AS, bukan sahaja Sam bin Nuh.

- Advertisement -

Malah, Nabi Ibrahim AS juga termasuk dalam keturunan Semitik, bahkan daripada zuriatnya juga lahir bangsa Arab, Yahudi dan lain-lain. Nabi Ibrahim AS berhijrah ke Palestin bersama isterinya, Sarah dari Babylon dan Hajar dari Mesir. Daripadanya lahir para anbiya’ Bani Isra’il dan nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW daripada kalangan bangsa Arab.

Hijrah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS bersama anak saudaranya, Nabi Lut AS dan isterinya, Sarah atas nama agama Islam. Nabi Ibrahim AS ialah bapa para nabi selepasnya, bukan sahaja bagi anbiya’ dalam kalangan Bani Isra’il. Mereka semua menganut Islam. Firman Allah SWT:

﴿مَا كَانَ إِبۡرَٰهِيمُ يَهُودِيّٗا وَلَا نَصۡرَانِيّٗا وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفٗا مُّسۡلِمٗا وَمَا كَانَ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ٦٧ إِنَّ أَوۡلَى ٱلنَّاسِ بِإِبۡرَٰهِيمَ لَلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُ وَهَٰذَا ٱلنَّبِيُّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْۗ وَٱللَّهُ وَلِيُّ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ٦٨﴾

“Ibrahim bukanlah seorang Yahudi dan bukan (pula) seorang Nasrani, tetapi dia ialah seorang yang menganut agama lurus lagi berserah diri kepada Allah (Islam), dan sekali-kali bukanlah dia termasuk golongan orang-orang Musyrik. (67) Sesungguhnya, orang yang paling dekat kepada Ibrahim ialah orang-orang yang mengikutinya dan Nabi ini (Muhammad SAW), berserta orang-orang yang beriman (kepada Muhammad SAW), dan Allah ialah Pelindung semua orang yang beriman. (68)” [Surah Ali ‘Imran: 67-68]

Firman Allah SWT:

﴿أَمۡ كُنتُمۡ شُهَدَآءَ إِذۡ حَضَرَ يَعۡقُوبَ ٱلۡمَوۡتُ إِذۡ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعۡبُدُونَ مِنۢ بَعۡدِيۖ قَالُواْ نَعۡبُدُ إِلَٰهَكَ وَإِلَٰهَ ءَابَآئِكَ إِبۡرَٰهِ‍ۧمَ وَإِسۡمَٰعِيلَ وَإِسۡحَٰقَ إِلَٰهٗا وَٰحِدٗا وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ١٣٣﴾

“(Demikianlah wasiat Nabi Ya‘qub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang Yahudi!) Adakah kamu hadir ketika Nabi Ya‘qub didatangi (tanda-tanda) maut, ketika dia berkata kepada anak-anaknya, ‘Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?’ Mereka menjawab, ‘Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Isma‘il dan Ishaq, iaitu Tuhan Yang Maha Esa, dan kepada-Nyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman).” [Surah al-Baqarah: 133]

Zionis Yahudi yang ekstrem menganggap bangsa bukan Yahudi adalah binatang berupa manusia. Kepercayaan ini selaras dengan teori Darwin yang sesat disebarkan ke seluruh pelosok dunia. Namun begitu, ia bercanggah dengan firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ١٣﴾

“Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya, Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [Surah al-Hujurat: 13]

Adapun kemunculan bangsa Yahudi lebih terkebelakang. Asalnya daripada Nabi Ya‘qub bin Ishaq bin Ibrahim AS setelah Nabi Ya‘qub dan keluarganya mengikuti puteranya, Nabi Yusuf yang memerintah negara Mesir. Selepas beberapa ribu tahun, lahir daripadanya bangsa Bani Isra’il dan bersamanya Nabi Musa dan Nabi Harun AS yang menentang Firaun yang zalim.

Setelah dibinasakan Firaun dan bala tenteranya dengan mukjizat daripada Allah, Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS diperintahkan memimpin Bani Isra’il bagi membebaskan Palestin daripada kaum Jabbarin dengan kewajipan jihad untuk menegakkan Islam yang beramal dengan kitab Taurat.

Namun demikian, Bani Isra’il diharamkan masuk ke Palestin apabila ingkar menentang kewajipan jihad bersama Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS. Firman Allah SWT:

﴿وَإِذۡ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوۡمِهِۦ يَٰقَوۡمِ ٱذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ جَعَلَ فِيكُمۡ أَنۢبِيَآءَ وَجَعَلَكُم مُّلُوكٗا وَءَاتَىٰكُم مَّا لَمۡ يُؤۡتِ أَحَدٗا مِّنَ ٱلۡعَٰلَمِينَ٢٠ يَٰقَوۡمِ ٱدۡخُلُواْ ٱلۡأَرۡضَ ٱلۡمُقَدَّسَةَ ٱلَّتِي كَتَبَ ٱللَّهُ لَكُمۡ وَلَا تَرۡتَدُّواْ عَلَىٰٓ أَدۡبَارِكُمۡ فَتَنقَلِبُواْ خَٰسِرِينَ٢١ قَالُواْ يَٰمُوسَىٰٓ إِنَّ فِيهَا قَوۡمٗا جَبَّارِينَ وَإِنَّا لَن نَّدۡخُلَهَا حَتَّىٰ يَخۡرُجُواْ مِنۡهَا فَإِن يَخۡرُجُواْ مِنۡهَا فَإِنَّا دَٰخِلُونَ٢٢ قَالَ رَجُلَانِ مِنَ ٱلَّذِينَ يَخَافُونَ أَنۡعَمَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِمَا ٱدۡخُلُواْ عَلَيۡهِمُ ٱلۡبَابَ فَإِذَا دَخَلۡتُمُوهُ فَإِنَّكُمۡ غَٰلِبُونَۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَتَوَكَّلُوٓاْ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ٢٣ قَالُواْ يَٰمُوسَىٰٓ إِنَّا لَن نَّدۡخُلَهَآ أَبَدٗا مَّا دَامُواْ فِيهَا فَٱذۡهَبۡ أَنتَ وَرَبُّكَ فَقَٰتِلَآ إِنَّا هَٰهُنَا قَٰعِدُونَ٢٤ قَالَ رَبِّ إِنِّي لَآ أَمۡلِكُ إِلَّا نَفۡسِي وَأَخِيۖ فَٱفۡرُقۡ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَ ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡفَٰسِقِينَ٢٥ قَالَ فَإِنَّهَا مُحَرَّمَةٌ عَلَيۡهِمۡۛ أَرۡبَعِينَ سَنَةٗۛ يَتِيهُونَ فِي ٱلۡأَرۡضِۚ فَلَا تَأۡسَ عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡفَٰسِقِينَ٢٦﴾

“Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya, ‘Wahai kaumku, ingatlah ni‘mat Allah ke atasmu ketika Dia mengangkat nabi-nabi antaramu, dan dijadikan-Nya kamu orang-orang merdeka, dan diberikan-Nya kepadamu apa yang belum pernah diberikan-Nya kepada seorang pun antara umat-umat yang lain. (20) Wahai kaumku, masuklah ke tanah suci (Palestin) yang telah ditentukan Allah bagimu, dan janganlah kamu lari ke belakang (kerana takut kepada musuh), maka kamu menjadi orang-orang yang merugi. (21) Mereka berkata, ‘Wahai Musa, sesungguhnya dalam negeri itu ada orang-orang yang gagah perkasa, sesungguhnya kami sekali-kali tidak akan memasukinya sebelum mereka keluar daripadanya. Jika mereka keluar daripadanya, pasti kami akan memasukinya.’ (22) Berkatalah dua orang antara orang-orang yang takut (kepada Allah) yang Allah telah memberi ni‘mat atas kedua-duanya, ‘Serbulah mereka melalui pintu gerbang (kota) itu, maka bila kamu memasukinya nescaya kamu akan menang. Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman.’ (23) Mereka berkata, ‘Wahai Musa, kami sekali-kali tidak akan memasukinya selama-lamanya, selagi mereka ada di dalamnya, kerana itu pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti di sini sahaja.’ (24) Berkata Musa, ‘Ya Tuhanku, aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku. Maka, pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasiq itu.’ (25) Allah berfirman, ‘(Jika demikian), maka sesungguhnya negeri itu diharamkan ke atas mereka selama empat puluh tahun, (selama itu) mereka akan berputar-putar kebingungan di bumi (padang Tiih) itu. Maka, janganlah kamu bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasiq itu.’ (26)” [Surah al-Ma’idah: 20-26]

Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS diwafatkan dengan perasaan sedih kerana dikhianati oleh Bani Isra’il. Selepas 40 tahun, generasi baru Bani Isra’il yang dipimpin oleh Nabi Yusya‘ bin Nun AS berjaya memimpin dan berjihad atas nama Islam dan menegakkan syariat Allah dalam kitab suci Taurat yang sebenar. Sehingga tertegaknya negara besar oleh Nabi Dawud AS dan Nabi Sulaiman AS.

Selepas Bani Isra’il meninggalkan Taurat iaitu Kitab Allah yang sebenar, sehingga terlampau zalim membunuh nabi-nabi, para ulama dan pemimpin yang adil, mereka dibencanakan dengan kehinaan merempat di seluruh pelosok bumi. Firman Allah SWT:

﴿…وَضُرِبَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلذِّلَّةُ وَٱلۡمَسۡكَنَةُ وَبَآءُو بِغَضَبٖ مِّنَ ٱللَّهِۗ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ كَانُواْ يَكۡفُرُونَ بِ‍َٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّۗ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ٦١﴾

“…Lalu ditimpakanlah kepada mereka kenistaan dan kehinaan, serta mereka mendapat kemurkaan daripada Allah. Hal itu (terjadi) kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memang tidak dibenarkan. Demikian itu (terjadi) kerana mereka selalu berbuat derhaka dan melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 61]

Firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡفُرُونَ بِ‍َٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ بِغَيۡرِ حَقّٖ وَيَقۡتُلُونَ ٱلَّذِينَ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡقِسۡطِ مِنَ ٱلنَّاسِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ٢١ أُوْلَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ حَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِ وَمَا لَهُم مِّن نَّـٰصِرِينَ٢٢﴾

“Sesungguhnya, orang-orang yang kufur kepada ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memang tidak dibenarkan dan membunuh orang-orang yang menyuruh manusia berbuat adil, maka gembirakanlah mereka bahawa mereka akan menerima seksa yang pedih. (21) Mereka itu adalah orang-orang yang lenyap (pahala) amal-amalnya di dunia dan akhirat, dan mereka sekali-kali tidak memperoleh penolong. (22)” [Surah Ali ‘Imran: 21-22]

Mazhab Yahudi Neturei Karta (Ortodoks) mengharamkan bagi bangsa Yahudi menubuhkan negaranya semula di Palestin kerana kemurkaan Allah disebabkan dosa-dosa mereka.

Adapun penubuhan negara Israel diperjuangkan oleh kumpulan sekular Yahudi melalui pertubuhan Freemason dan Zionis melibatkan kaum bukan Yahudi yang dapat dipengaruhinya melalui kuasa politik, kekayaan ekonomi dan pengaruh media. Sehingga mereka berjaya menubuhkan negara besar atau mempengaruhi negara kuasa besar Amerika dan Eropah.

Keadaan ini dapat disaksikan apabila semua pihak yang memenangi pilihan raya melalui demokrasi menyokong negara Israel dengan pengaruh ekonomi, media dan politik, sehingga dapat menguasai Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan antarabangsa yang lain.

Sewaktu zaman kelemahannya, kuasa Barat Amerika dan Eropah telah menjajah negara umat Islam termasuk negara Arab, Afrika dan Amerika Latin. Walaupun telah diberikan kemerdekaan, pengaruh penjajahannya masih tertanam dalam pemikiran para pemimpin yang sengaja diberi tugas selepas diberikan kemerdekaan yang diatur dan dirancang strategi penjajahan moden sehingga kini.

Negara Arab dan pertubuhan yang bercirikan sekularisme gagal membebaskan Palestin sejak beberapa dekad yang lalu, setelah mereka berjaya menyingkirkan kumpulan Islam yang menentang penubuhan negara haram Israel yang dipimpin oleh Mufti Amin al-Husaini, Izzudin al-Qassam, Hasan al-Banna dan lain-lain.

Mufti Palestin, Syeikh Amin al-Husaini RH dan beberapa tokoh Islam telah menganjurkan Muktamar Islam Antarabangsa pada tahun 1931 melibatkan semua mazhab dan bangsa yang menganut Islam dari seluruh dunia termasuk dari Malaysia, Indonesia, Iran, India, Afrika dan Eropah, bagi menghalang penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948.

Malangnya, usaha itu dikhianati oleh negara-negara Arab dan Islam sehingga diselamatkan negara haram itu dengan bantuan ketenteraan, politik, ekonomi dan media Barat, serta konco-konconya daripada kalangan negara Arab dan Islam yang menggagalkan usaha jihad.

Namun, Rasulullah SAW telah memberi janji yang benar daripada Allah dengan sabdanya:

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الدِّينِ ظَاهِرِينَ لِعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ، إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ.

“Akan sentiasa ada dalam kalangan umatku kumpulan yang sentiasa menegakkan agama secara zahir (terbuka) dengan menghadapi musuh mereka dalam keadaan gagah perkasa. Mereka tidak boleh dimudaratkan (dihapuskan) oleh orang yang menentang mereka (dalam riwayat yang lain termasuk mengecewakan) melainkan mereka (kumpulan Islam itu) ditimpa kesulitan, (namun mereka meneruskan perjuangan) sehingga datangnya keputusan Allah (memberi kemenangan kepada mereka) dan mereka kekal seperti itu.”

قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟

Mereka (para sahabat) bertanya, “Wahai Rasulullah, di manakah mereka?”

قَالَ: بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِس.

Rasulullah SAW menjawab, “Di Bait al-Maqdis dan di sekeliling Bait al-Maqdis.” [Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Ansar, No. 22320, daripada Abu Umamah al-Bahili]

Kita menyaksikan penentangan terhadap Israel berlaku secara berterusan di Bait al-Maqdisdan kini muncul kumpulan Islam berorganisasi daripada Hamas, Tanzim Jihad, Hizbullah dan Ansarullah termasuk beberapa buah negara Islam dan Arab bersama mereka yang tidak ramai. Sebahagian besar daripadanya mengecewakan, bahkan ada yang melakukan normalisasi berpihak kepada Israel dan bala tentera Ahzab bersamanya. Akan tetapi, majoriti rakyat umat Islam bersama perjuangan Palestin.

Kita menyaksikan mukjizat al-Quran mengulangi peristiwa Ahzab yang telah disebutkan dalam al-Quran oleh firman Allah SWT:

﴿إِذۡ جَآءُوكُم مِّن فَوۡقِكُمۡ وَمِنۡ أَسۡفَلَ مِنكُمۡ وَإِذۡ زَاغَتِ ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَبَلَغَتِ ٱلۡقُلُوبُ ٱلۡحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا۠١٠ هُنَالِكَ ٱبۡتُلِيَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَزُلۡزِلُواْ زِلۡزَالٗا شَدِيدٗا١١ وَإِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ إِلَّا غُرُورٗا١٢ وَإِذۡ قَالَت طَّآئِفَةٞ مِّنۡهُمۡ يَـٰٓأَهۡلَ يَثۡرِبَ لَا مُقَامَ لَكُمۡ فَٱرۡجِعُواْۚ وَيَسۡتَ‍ٔۡذِنُ فَرِيقٞ مِّنۡهُمُ ٱلنَّبِيَّ يَقُولُونَ إِنَّ بُيُوتَنَا عَوۡرَةٞ وَمَا هِيَ بِعَوۡرَةٍۖ إِن يُرِيدُونَ إِلَّا فِرَارٗا١٣﴾

“(Iaitu) ketika mereka datang kepada kamu dari atas dan dari bawah kamu, dan ketika tidak tetap lagi penglihatan (kamu) dan hati kamu naik menyesak sampai di tenggorokan, dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam purbasangka. (10) Di situlah diuji orang-orang Mukmin dan digoncangkan (hatinya) dengan goncangan yang sangat dahsyat. (11) Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafiq dan orang-orang yang berpenyakit dalam hati mereka berkata, ‘Allah dan rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kami melainkan tipu daya.’ (12) Dan (ingatlah) ketika segolongan antara mereka berkata, ‘Wahai penduduk Yathrib (Madinah), tidak ada tempat bagimu, maka kembalilah kamu.’ Dan sebahagian daripada mereka meminta izin kepada nabi (untuk kembali pulang) dengan berkata, ‘Sesungguhnya, rumah-rumah kami terbuka (tidak ada penjaga).’ Dan rumah-rumah itu sekali-kali tidak terbuka, mereka tidak lain hanya hendak melarikan diri. (13)” [Surah al-Ahzab: 10-13]

Namun, terdapat sebahagian umat Islam yang gagah berani menentang bala tentera Ahzab yang besar jumlahnya berlipat kali ganda. Firman Allah SWT:

﴿وَلَمَّا رَءَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡأَحۡزَابَ قَالُواْ هَٰذَا مَا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَصَدَقَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥۚ وَمَا زَادَهُمۡ إِلَّآ إِيمَٰنٗا وَتَسۡلِيمٗا٢٢ مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٞ صَدَقُواْ مَا عَٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُۥ وَمِنۡهُم مَّن يَنتَظِرُۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلٗا٢٣ لِّيَجۡزِيَ ٱللَّهُ ٱلصَّـٰدِقِينَ بِصِدۡقِهِمۡ وَيُعَذِّبَ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ إِن شَآءَ أَوۡ يَتُوبَ عَلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورٗا رَّحِيمٗا٢٤﴾

“Dan tatkala orang-orang Mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata, ‘Inilah yang dijanjikan Allah dan rasul-Nya kepada kita.’ Dan benarlah Allah dan rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali keimanan dan ketundukan. (22) Antara orang-orang Mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka antara mereka ada yang gugur. Dan antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak mengubah (janjinya). (23) Supaya Allah memberikan balasan kepada orang-orang yang benar itu kerana kebenarannya, dan menyeksa orang munafiq jika dikehendaki-Nya, atau menerima taubat mereka. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (24)” [Surah al-Ahzab: 22-24]

Kita sedang menyaksikan cerita al-Quran berulang lagi dengan kemaraan kumpulan Islam menentang Zionis Israel yang menggelabahkan semua kuasa besar bersamanya, sehingga digerakkan bantuan senjata dan dihantar pasukan tentera. Mana-mana negara dan kumpulan disenaraikan sebagai pengganas sekiranya membantu menentang Israel dengan alasan menjaga keamanan dunia tanpa peduli terhadap keganasan melampau yang dilakukan oleh Zionis Israel yang sebenarnya menjadi ancaman.

Hakikatnya, al-Quran telah mendedahkan sifat penakut dan kelemahan kaum Zionis dengan firman Allah SWT:

﴿لَا يُقَٰتِلُونَكُمۡ جَمِيعًا إِلَّا فِي قُرٗى مُّحَصَّنَةٍ أَوۡ مِن وَرَآءِ جُدُرِۢۚ بَأۡسُهُم بَيۡنَهُمۡ شَدِيدٞۚ تَحۡسَبُهُمۡ جَمِيعٗا وَقُلُوبُهُمۡ شَتَّىٰۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمٞ لَّا يَعۡقِلُونَ١٤﴾

“Mereka (orang-orang Yahudi dan orang-orang munafiq) dengan keadaan bersatu padu sekalipun tidak akan berani memerangi kamu, kecuali dalam kampung-kampung yang mempunyai benteng kukuh atau dari sebalik tembok. Permusuhan antara sesama mereka sendiri adalah sangat hebat. Kamu menyangka mereka itu bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah. Hal yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ialah kaum yang tidak mengerti.” [Surah al-Hasyr: 14]

Kini, mereka membina tembok dan kubu bawah tanah yang banyak, serta bersenjatakan kenderaan berperisai, pesawat udara dan senjata jarak jauh daripada kuasa-kuasa besar. Namun, kelihatan perpecahan sesama mereka sehingga mencetuskan politik dalaman yang parah.

Keganasan yang melampau terhadap rakyat Palestin kini sehingga ke tahap pembunuhan beramai-ramai yang menyebabkan kebencian seluruh pelosok dunia sehingga di Amerika, Eropah, Amerika Latin dan Afrika. Adapun pendirian memalukan negara-negara Islam dan Arab yang menunjukkan kelemahan iman mereka yang mengecewakan terhadap agama sendiri, disebabkan hilangnya semangat persaudaraan Islam dan sifat kemanusiaan.

Lebih malang lagi, ada kalangan negara yang menghantar bantuan terlebih dahulu melutut meminta kebenaran daripada negara haram Israel, dalam keadaan menjadi penonton pesta pembunuhan beramai-ramai oleh Zionis bersama bantuan senjata yang berterusan dan menentang kumpulan Islam yang menguasai Palestin.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 23 Sya‘ban 1445 / 4 Mac 2024 – HARAKAHDAILY 4/3/2024

- Advertisement -