Sekongkol syarikat bekal senjata bunuh rakyat Gaza?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan pendirian terhadap usaha Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bakal membentuk konsortium bersama Global Infrastructure Partners (GIP) beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat.

- Advertisement -

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, GIP merupakan syarikat pelaburan milik penuh BlackRock yang meraih keuntungan besar daripada pembekalan senjata di mana melakukan pembunuhan besar-besaran penduduk Gaza, Palestin dalam konflik antara Israel dan HAMAS.

Beliau berkata, BlackRock merupakan pemilik dan pemegang saham kepada ‘Raytheon and Lockheed Martin’ yang menjadi pembekal kelengkapan ketenteraan kepada Israel untuk memusnahkan kemudahan termasuk hospital, sekolah dan sebagai di wilayah Gaza.

“Jadi saya minta komitmen kerajaan melalui Wisma Putra dan juga Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) untuk sama-sama membantah pendekatan pertimbangan ini yang dibuat oleh di Khazanah KWSP ini untuk menjual pegangan MAHB kepada GIP yang dimiliki oleh BlackRock.

“Apa guna kita bercakap di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), tetapi di belakang kita bersekongkol dengan orang yang membunuh ratusan ribu rakyat Palestin, saya yakin Menteri Kewangan mampu bertindak dengan lebih bijak daripada ini,” katanya.

Beliau mengemukakan perkara itu ketika mencelah Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) kepada Menteri Luar Negeri semasa sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, Parlimen di sini sebentar tadi.

Syed Ibrahim dalam soalan asalnya meminta Menteri Luar Negeri menyatakan perancangan dan tindakan lanjut Kerajaan dalam isu kemelut kemanusiaan di Palestin di mana kekejaman dan penderitaan terus memuncak.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato’ Mohamad Alamin berkata, isu yang dibangkitkan oleh wakil rakyat Machang itu sangat agak serius yang memerlukan perhatian oleh kerajaan ketika konflik itu tiada kesudahan.

Meskipun kata beliau, pihaknya belum menerima maklumat rasmi mengenai keputusan tersebut yang dibuat melalui Kementerian Kewangan, namun Kementerian Luar Negeri akan mengambil tindakan berdasarkan bidang kuasa yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis menjelaskan, kementerian tersebut akan mendapatkan pandangan dan nasihat dari agensi di bawah kementerian untuk meneliti pandangan yang diutarakan oleh Ketua Armada BERSATU itu.

“Isu yang dibangkitkan oleh Machang ini adalah isu yang agak besar, walau bagaimanapun kita akan mengambil apa-apa tindakan yang perlu berdasarkan wilayah kementerian kita, kalaulah wilayah itu di bawah kementerian kita akan beri pandangan agensi yang terlibat.

“Kita memainkan peranan untuk membantu rakyat Palestin kita akan buat screening dan akomodasi nasihat dan pandangan daripada semua agensi kementerian agar cakna dan ambil kira, kalaulah nanti ada maklumat rasmi kita akan bagi pandangan peringkat wilayah,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/3/2024

- Advertisement -