SPRM: Jangan hukum sebelum siasat, bicara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan seharusnya mempunyai mekanisme untuk menghalang pihak yang sedang menghadapi siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau dibicarakan di mahkamah dari menjadi mangsa dihukum oleh media.

- Advertisement -

Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) bahkan menegur di mana mutakhir ini berlaku keadaan di mana aduan-aduan dibuat kepada SPRM yang belumpun dibicarakan, tetapi Ketua Pesuruhjaya SPRM telah mengeluarkan kenyataan.

“Bicara pun belum lagi, dan kita dapati mangsa dihukum sebelum dibicarakan, oleh media. Ini merupakan satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Bila ada aduan, kita harus tunggu perbicaraan dan sebagainya, barulah dibuat pengadilan,” ujarnya.

Timbalan Presiden PAS itu bangun mencelah semasa sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang dikemukakan Ramkarpal Singh Karpal Singh (PH-Bukit Gelugor) di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini sebentar tadi.

Dalam soalan asal Ramkarpal kepada Perdana Menteri meminta menyatakan sama ada Kerajaan berhasrat untuk menambah baik Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi menggalakkan lebih ramai orang melaporkan kegiatan-kegiatan rasuah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran V Murugeson yang menjawab menyifatkan soalan Tuan Ibrahim sebagai satu masalah defisit kepercayaan.

“Di antara masalah bila dilaporkan kepada agensi-agensi dia terbongkar itu menjadi satu masalah yang besar. Tapi saya rasa dengan perundangan yang akan diubahsuai tak lama lagi ini semestinya ia akan mengambil kira perkara tersebut.

“Tindakan lanjut dia akan ambil supaya exposure-exposure (pendedahan) sedemikian tidak berlaku,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat. – HARAKAHDAILY 4/3/2024

- Advertisement -