Peringatan suatu yang bermanfaat bagi orang beriman

- Advertisement -

Naskhah Dakwah PAS Pusat. Siri 49

- Advertisement -

ANTARA elemen penting dalam Islam yang masih sukar ditegakkan dalam masyarakat kita ialah ‘peringatan’ dan ‘nasihat’.

Sedang Allah telah sebut dalam Al Quran:

وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَىٰ تَنفَعُ الْمُؤْمِنِينَ

Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan manafaat kepada orang-orang yang beriman. (Surah Az Zaariyat: 55)

Sementara Nabi SAW pernah bersabda:

عَنْ تَمِيمٍ الدَّارِيِّ قَالَ

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الدِّينَ النَّصِيحَةُ إِنَّ الدِّينَ النَّصِيحَةُ إِنَّ الدِّينَ النَّصِيحَةُ قَالُوا لِمَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ لِلَّهِ وَكِتَابِهِ وَرَسُولِهِ وَأَئِمَّةِ الْمُؤْمِنِينَ وَعَامَّتِهِمْ أَوْ أَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ

Sesungguhnya agama itu adalah nasihat, sesungguhnya agama itu adalah nasihat, sesungguhnya agama itu adalah nasihat.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, bagi siapa?” Baginda menjawab, “Bagi Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, pemimpin kaum mukminin dan orang-orang awam (rakyat) mereka, atau baginda mengatakan, “Pemimpin kaum muslimin dan orang-orang awam (rakyat) mereka.” (Riwayat Imam Abu Daud – Sahih)

Namun budaya memberi ingat dan memberi nasihat ini semakin asing mutakahir ini. Sering kali peringatan dan nasihat dipandang serong.

Peringatan disambut curiga dan nasihat didakwa sinis. Akhirnya fenomena ini bakal melahirkan sebuah masyarakat yang gersang dari peringatan dan kontang daripada nasihat.

Tanpa peringatan dan nasihat inilah akhirnya membawa masyarakat menjadi buas dan sukar diasuh. Mereka akan jadi keras jiwa dan payah dilentur.

Ini adalah implikasi mudah apabila peringatan dan nasihat diprediksikan sebagai sindiran, kritikan, ancaman biarpun seikhlas mana ia diutarakan.

Sayugianya semua pihak sedia memberi dan menerima peringatan mahupun nasihat. Justeru semua pihak tidak terpelihara dari salah dan silap kecuali Nabi kita Mustafa SAW.

Apatah lagi peringatan dan nasihat dikemukakan oleh pihak yang berauthoriti seperti para alim ulama, cendikiawan Islam atau siapa jua dalam kalangan insan yang soleh.

Sebetulnya tidak hilang bisa untuk kita menerima peringatan dan nasihat meskipun ia datang dari orang biasa-biasa, sebagaimana tidak hilang bisa ular yang menyusur akar.

Indahnya hidup bermasyarakat yang tumbuh dalam keharmonian dan sangka baik. Masing-masing ikhlas dalam menghulur peringatan dan menyambut nasihat.

Surah Al Asr yang sering kita jadikan ayat penutup pada sesuatu majlis yang kita anjur di pelbagai peringkat telah menegaskan bahawa umat manusia ini terjebak dalam kerugian berpanjangan kecuali empat golongan yang selamat dari kerugian itu:

a) Orang yang beriman
b) Orang yang beramal soleh
c) Orang yang saling menasihati agar mentaati kebenaran
d) Orang yang saling menasihati agar menepati kesabaran.

NASRUDIN HASSAN
Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat
22 Sya’ban 1445 | 3 Mac 2024 – HARAKAHDAILY 3/3/2024

- Advertisement -