Anak muda pemimpin masa depan, perlu celik politik

Rohani Ibrahim
- Advertisement -

KOTA BHARU: Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim mengingatkan anak muda Kelantan perlu celik politik.

- Advertisement -

Ini, katanya kerana kuasa penting untuk menjaga agama dan rakyat berbagai kaum pada masa hadapan.

Menurutnya, pada masa yang sama mereka perlu mempersiapkan diri dari sekarang kerana anak muda hari ini bakal menjadi pemimpin pada masa akan datang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduation Hi-Tea di sebuah hotel, di sini petang semalam.

Hampir 60 orang mahasiswa dari pelbagai institut pendidikan tinggi awam (IPTA) dan swasta hadir pada majlis yang dianjurkan Pemuda PAS Kawasan Kota Bharu dan Ameerah Kota Bharu.

Tambahnya, kerana itu anak muda mesti mengambil tahu dan terlibat secara sihat dalam politik khususnya politik Islam yang akan menjadi panduan buat mereka sebagai pemimpin nanti.

“Anak muda adalah harapan negeri dan negara untuk pembangunan masa depan yang bakal mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri nanti,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan anak muda supaya mempelajari serta mengamati perubahan pentadbiran kerajaan Kelantan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan lebih 33 tahun lalu.

Katanya, banyak perubahan serta kejayaan yang telah dilakukan kerajaan negeri, antaranya menukar Jalan Hamzah yang dahulunya terkenal jolokan little Paris sewaktu di bawah kerajaan BN yang akhirnya menjadi satu kawasan yang bersih.

Tambahnya lagi, perubahan yang dibuat oleh kerajaan negeri bermula dengan bekas Menteri Besar Kelantan, almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob perlu diterokai sebagai panduan.

“Hari ini Kelantan ditadbir oleh Menteri Besar yang ketiga, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud yang mana pelajar perlu mengetahui keistimewaan di bawah pentadbirannya,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 3/3/2024

- Advertisement -