‘Kalau bagi rumah dah tentu kita pergi dari sini’

M Letchumi
- Advertisement -

SHAH ALAM: Rumah panjang di Kampung Bunga Raya Subang dirobohkan Khamis lalu dengan perintah mahkamah kerana dikatakan tinggal di atas tanah milik pihak tertentu.

- Advertisement -

Tinjauan Harakahdaily mendapati penduduk hanya menunggu pampasan yang sehingga kini masih belum diterima lagi.

Mengulas lanjut, penduduk di situ telah ditipu dengan perjanjian jual beli rumah sejak sekian lama dan ada di antara mereka telah jatuh muflis akibat penipuan tersebut.

Lebih memilukan, penduduk wanita yang baru melahirkan anak berusia 19 hari turut menjadi mangsa keadaan, dengan situasi pihak berkenaan telah memotong bekalan elektrik dan air.

Wanita yang sedang dalam pantang, Siti Sahirah Roslan, 27, buntu kerana tidak tahu ke mana hendak dituju setelah rumah akan dirobohkan satu persatu.

Siti Sahirah Roslan

Sahirah cuma mengharapkan rumah untuk berteduh demi keselesaan anaknya yang baru sahaja dilahirkan.

“Kalau boleh saya nak rumah lah untuk kita berteduh, mana lagi kita nak berteduh kalau tak ada rumah, kita memang perlukan rumah sajalah, kalau dah roboh kat sini mana lagi kita nak duduk, kalau dia orang janjikan rumah tak apa,” katanya.

Menurut M Letchumi, 47, Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan telah menjanjikan sebanyak 118 unit rumah namun penduduk tidak menerima sebarang surat tawaran.

“Rumah pun tidak dapat, tiba-tiba pihak berkuasa turun robohkan rumah. Kalau dah roboh mana kita nak pergi. Kalau dia bagi rumah dah tentu kita pun pergi dari sini.

“Jadi kami tak minta apa-apa melainkan hanya pampasan dan ganti rugi sahaja,” katanya.

P Rani

Menurut P Rani, yang merupakan salah seorang yang telah membayar pinjaman perumahan sehingga habis, namun hingga kini tidak memiliki kunci rumah seperti yang dijanjikan.

“Saya dah bayar pinjaman rumah sampai habis, dah lama tau, tapi mana rumah tu, tiada. Sekarang mereka robohkan rumah tanpa kami rela.

“Saya pun tidak mahu tinggal lama di sini, masalahnya saya telah bayar rumah sampai habis. Jadi, kamu bagi kunci rumah dulu, baru kami pindah keluar dan saya pasti akan berterima kasih,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/3/2024

- Advertisement -