SST: Kehidupan rakyat berpendapatan rendah terus terhimpit

- Advertisement -

KOTA BHARU: Peningkatan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada enam kepada lapan peratus menyebabkan kesempitan hidup masyarakat di negara ini akan berterusan khususnya yang berpendapatan rendah.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim, berkata dengan kenaikan SST lapan peratus bermula semalam, rakyat semakin struggle mencari rezeki untuk hidup.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan awal persekolahan kepada hampir 500 orang pelajar sekolah rendah dan menengah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Mas.

Majlis tahunan itu diadakan di Dewan Terbuka Maahad Muhammadi lelaki, di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tawang, Harun Ismail, pemimpin masyarakat dan ibu bapa serta pelajar.

ADUN Tanjung Mas itu berkata, masyarakat kini berhempas pulas mencari rezeki untuk menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak yang akan memulakan persekolahan sesi 2024/2025 pertengahan Mac ini.

“Kemudian kita akan menyambut bulan Ramadan dan selepas itu Aidilfitri yang memerlukan kita semua menyediakan peruntukan yang secukupnya, terutama sekali keluarga yang ramai.

“Kerajaan negeri amat bersimpati dengan rakyat kita di kampung-kampung, kerana itu bantuan untuk armalah, anak yatim dan lain-lain berupa kebajikan, sering diberikan sekadar yang termampu,” jelasnya lagi.

Beliau menambah, sekiranya sebelum ini sumbangan diberi untuk setiap keluarga berpendapatan rendah yang dipilih penghulu mukim sebanyak RM50 dan seterusnya RM70, namun kini telah mencecah RM100.

Jelasnya, kejatuhan nilai ringgit berbanding mata wang dunia juga akan menyebabkan kos untuk mengimport barangan menjadi mahal.

“Apabila kos mengimport menjadi mahal, maka peniaga akan memindahkan kos kenaikan harga import ini dengan terpaksa menjual barangan kepada pelanggan pada harga yang mahal,” katanya.

Tambah beliau, akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung beban, sebagaimana kenaikan SST yang terpaksa ‘ditelan’ oleh rakyat. – HARAKAHDAILY 2/3/2024

- Advertisement -