Selesai isu rumah, jangan biarkan penduduk merempat

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

GOMBAK: Tindakan perobohan Rumah Panjang Kampug Bunga Raya Subang baru-baru ini adalah jelas tidak berperikemanusiaan.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata beliau difahamkan isunya bermula pada 1993 yang mana Kerajaan Selangor memberikan projek perumahan kepada sebuah syarikat pemaju swasta.

Kata beliau, penduduk kampung tersebut telah dijanjikan projek perumahan yang mana seharusnya rumah tersebut disiapkan pada masa terdekat.

“Namun apa yang saya melihat ialah bukan sekadar rumah tidak disiapkan malah penduduk pula dihalau keluar tanpa sebarang pampasan dan ini adalah satu kezaliman,” katanya kepada Harakahdaily semasa ditemui di Konvensyen Penerangan PAS Pusat yang diadakan di Akademi Pengajian Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, hari ini.

Beliau juga mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang tidak peka terhadap isu tersebut kerana seolah-olah ingin melindungi pihak berkenaan.

“Mengapa penduduk kampung pula perlu bayar hutang rumah sedangkan rumah itu sendiri pun tidak wujud dan terdapat dua penduduk tersebut bernama Rishikumar a/l Kuppuswamy dan Razib Nordin tidak mempunyai apa pun hutang tapi rumah pun tidak dapat.

“Ini yang menimbulkan persoalan bagaimana kerajaan Selangor pada masa ini masih tidak menyelesaikan masalah sebegini,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak-pihak yang terlibat dalam projek tersebut termasuk kerajaan negeri supaya mengambil tanggungjawab menyelesaikan isu itu.

Kata beliau, tidak wajar untuk membiarkan masalah sebegitu berlarutan kerana penduduk berhak mendapatkan keadilan yang sewajarnya.

“Jadi saya menggesa kerajaan Selangor dan pihak-pihak yang terlibat supaya selesaikan isu ini dengan segera dan adil kerana mereka mempunyai hak sebagai warganegara negara ini dan bukannya dibiarkan merempat di bumi sendiri,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas. – HARAKAHDAILY 2/3/2024