MAIK sasar lebih ramai huffaz wanita menjelang 2025

- Advertisement -

KOTA BHARU: Penubuhan Maahad Tahfiz Al-Quran (MTQ) Perempuan pertama di bawah kelolaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bakal meningkatkan jumlah huffaz wanita di negeri ini.

- Advertisement -

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pengambilan pertama bagi sesi 2023/2025 membabitkan 10 pelajar berusia 19 dan 20 tahun.

“Buat masa ini pengambilan hanya membabitkan 10 pelajar yang lulus temuduga dan mengikut syarat yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, MAIK menyasarkan lebih ramai huffaz wanita iaitu 35 orang menjelang 2025,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Maahad Tahfiz Al-Quran (Perempuan) MAIK di Pendek, hari ini.

Menurut beliau, sebelum ini MTQ MAIK dikenali sebagai pusat pengajian yang menyediakan peluang pembelajaran tahfiz al-Quran khusus kepada pelajar lelaki sahaja.

Bagaimanapun tambah beliau, pada tahun 2022 keputusan untuk menawarkan program Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat kepada pelajar perempuan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK.

Katanya, bangunan tiga tingkat pusat berkenaan bersebelahan Masjid Mukim Kamil Hassan, Pendek itu diwakafkan oleh beberapa individu.

“Sistem pengajian ditetapkan pihak Darul Quran Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (JAKIM) dan pada masa sama, pelajar diwajibkan menghafaz 30 juzuk al-Quran,” katanya.

Beliau menjelaskan, MAIK melalui unit pendidikan juga bersetuju memberikan biasiswa penuh kepada pelajar yang berjaya mendapat purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 3.0 dan ke atas.

“MAIK menggalakkan semua pelajar menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama di luar negara selepas tamat diploma.

“Pihak pengurusan MAIK sentiasa menyokong dan menyambut baik setiap perkara atau usul yang diketengahkan dari Maahad Tahfiz Al-Quran sama ada berkaitan dengan pembangunan pengurusan, prasarana, program kecemerlangan akademik dan pembentukan sahsiah para pelajar,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/3/2024

- Advertisement -