MAIK peruntuk RM3.5 juta bantuan awal persekolahan 2024

- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah memperuntukkan sebanyak RM3.5 juta untuk bantuan awal persekolahan tahun 2024 berbanding tahun lalu berjumlah RM2.5 juta.

- Advertisement -

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan itu bakal dimanfaatkan seramai 23,896 pelajar dalam kalangan asnaf dan fakir miskin yang melibatkan 9,064 ketua isi rumah.

“Bantuan Awal Persekolahan MAIK ini adalah salah satu skim bantuan diuruskan oleh Unit Agihan Zakat MAIK yang diberikan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah.

“Pada peringkat permulaan pelaksanaannya, bantuan ini dimasukkan ke akaun ibu bapa dan setiap pelajar yang layak akan menerima sebanyak RM150 seorang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai majlis pelancaran bantuan awal persekolahan MAIK tahun 2024, di sini, hari ini.

Terdahulu, seramai 150 pelajar bagi Masjid Mukum Zon Kampung Sireh, Kota Bharu yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM22,500 telah menerima bantuan berkenaan.

Sementara itu katanya, bermula sesi persekolaham tahun 2019 dan 2020, MAIK telah membuat penambahbaikan dengan menukar kaedah agihan iaitu menyediakan pakaian dan peralatan persekolahan.

Pelajar dibekalkan dengan seragam sekolah lengkap, beg, kasut, stoking dan alat tulis yang bernilai RM150.

Bermula tahun 2021 sehingga tahun 2024, Bantuan Awal Persekolahan MAIK telah ditambah baik sekali lagi dengan pemberian wang tunai sahaja sebanyak RM150 untuk seorang pelajar. – HARAKAHDAILY 2/3/2024

- Advertisement -