Mahkamah Syariah-Sivil: Tidak wujud ‘double jeopardy’

Gesa kerajaan tidak campur urusan badan kehakiman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat menginginkan kerajaan memerintah dengan sistem kehakiman yang benar-benar adil dan saksama, tanpa campur tangan atau tekanan politik demi kesejahteraan rakyat, sama ada orang Islam ataupun bukan-Islam.

- Advertisement -

Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) berkata, ramai pihak termasuk dari Persatuan Peguam-peguam Muslim dan juga Majlis Peguam Malaysia telah mendesak kerajaan tidak mencampuri urusan badan kehakiman.

“Terutama sekali melibatkan kes-kes perbicaraan pemimpin politik mahupun individu yang berprofil tinggi di mana sepatutnya mahkamah adalah bebas daripada sebarang kongkongan dan tekanan agar keputusan yang adil dapat diberikan. 

“Persoalannya adakah ini benar-benar di aplikasikan oleh kerajaan pada ketika ini?” soalnya ketika mengambil bahagian dalam Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menyifatkan kerajaan kini tidak benar-benar menegakkan keadilan terutama melibatkan kes-kes pemimpin politik dalam parti pemerintahan itu sendiri dan perkataan keadilan itu sekadar satu slogan politik dan retorik semata-mata. 

Imbasnya, terdapat beberapa pendakwaan ahli politik yang dituduh dan dibicarakan di mahkamah, tetapi ditarik balik di mana ia sepatutnya tidak berlaku, contohnya pada 4 September 2023, kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri.

Mahkamah Tinggi katanya, telah memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan gubahan wang haram yang berkaitan dengan satu dana Yayasan Akalbudi. 

“Adakah ini konsep adil yang dilaungkan oleh kerajaan selama ini? Selain itu, kita sering disajikan dengan berita-berita pendakwaan yang bermotifkan politik balas dendam oleh kerajaan. Boleh dikatakan (melibatkan) hampir semua bekas Perdana Menteri. 

“Ditambah dengan bekas Menteri Kewangan dan Ketua Pembangkang, juga disiasat pada masa yang sama oleh kerajaan hari ini. Kalau melibatkan kes bekas Perdana Menteri, Menteri Kewangan dirujuk kepada Pandora Papers.

“Sebenarnya dalam Pandora Papers ramai lagi yang terlibat termasuk daripada pihak-pihak kerajaan. Tapi tidak disiasat. Ini masalah yang berlaku,” ujarnya menyuarakan kekesalannya.

Menyentuh isu Enakmen Jenayah Syariah Kelantan yang batal dan tidak sah angkara petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid beliau mahu naratif salah di media sosial berkaitan pertindanan antara undang-undang sivil dan syariah diperbetulkan. 

Jelasnya, walaupun ada pertindanan, tetapi Enakmen dibatalkan itu tiada kesalahan yang sama dalam undang-undang Persekutuan, contohnya muamalat riba adalah perlakuan di bawah syariah tetapi tiada dalam sivil.

“Ia bukan masalah jika banyak undang-undang memperuntukkan pelbagai kesalahan untuk perlakuan yang sama. Saya beri contoh umpamanya kita membuang sisa kimia di dalam sungai. Banyak pihak berkuasa yang terlibat dan boleh mengambil tindakan. 

“Seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Alam Sekitar, perkhidmatan air dan sebagainya yang mengawal selia undang-undang berlainan. Jadi hukuman di bawahnya boleh dikatakan lain dan pertindanan ini tidak dianggap (sebagai) tidak adil. 

“Ya tegas untuk saya katakan bahawa ketidakadilan itu hanya akan berlaku apabila didakwa dua kali ‘double jeopardy’. Maksudnya bahasa mudah adalah apabila seseorang sudah didakwa dan didapati bersalah atau atas satu perlakuan, maka dia tidak boleh lagi didakwa atas perlakuan yang sama.

“Oleh itu, apabila Mahkamah Syariah ada menyediakan kesalahan bagi satu perbuatan seperti kes liwat dan Mahkamah Sivil juga memperuntukkan kesalahan liwat, hal ini tidak bermakna akan ada berlaku pertindanan ataupun ketidakadilan.

“Contoh kes Iki Putra yang mencabar keabsahan Seksyen 28 atas kesalahan liwat di Selangor. Bila beliau berjaya, beliau sebenarnya tidak dituduh pun di mahkamah lain. Itu yang dikatakan bahawa yang ada peruntukan dua-dua pun tak ada pertuduhan.

“Apa lagi kalau yang tak ada di peruntukan Mahkamah Syariah, jadi jangan pula kita keliru dengan putar belit begini. Mungkin peruntukan Mahkamah Syariah itu bercanggah dengan kuasa Parlimen. Tetapi isu ketidakadilan bagi individu tidak wujud. 

“Ketidakadilan hanya timbul apabila seseorang itu sudah dihukum di bawah Syariah, didakwa semula di Mahkamah Sivil untuk kes yang sama. Itu memang tak boleh. Saya harap naratif yang salah ini dapat diperbetulkan dengan fakta. 

“Agar rakyat tidak keliru mahupun terpengaruh dengan mana-mana pihak yang ingin menjatuhkan kuasa Mahkamah Syariah. Oleh itu saya menggesa kerajaan untuk melaksanakan pindaan Perlembagaan dengan segera,” gesanya. – HARAKAHDAILY 29/2/2024

- Advertisement -