Kerajaan sengaja abai pelarasan pencen tentera?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan bahawa Majlis Angkatan Tentera hendaklah melaksanakan hak pelarasan pencen veteran bersara sebelum 1 Januari 2013 serupa dengan veteran yang bersara selepas tarikh itu.

- Advertisement -

Mej Jen (B) Dato’ Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) memberitahu, keputusan pada 5 Februari 2024 itu menyatakan, tidak adil membezakan pencen mereka sedemikian, sedangkan ia termaktub dalam Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, keputusan tersebut juga menyatakan Majlis Angkatan Tentera telah gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab diperuntukkan itu di mana memberi jaminan pencen kepada tentera yang telah berkhidmat untuk negara. 

“Kegagalan menyelaras pencen veteran angkatan tentera adalah satu keingkaran kepada Perlembagaan Persekutuan. Jadi isu pelarasan pencen veteran angkatan tentera yang bersara sebelum 1 Januari 2013 ini telah melibatkan seramai 78,546 veteran. 

“Mungkin sekarang dah berkurangan kerana mereka-mereka ni dah tua-tua semua. Banyak dah mati. Jumlah pencen mereka yang bersara sebelum 1 Januari 2013 jauh lebih rendah berbanding dengan pencen veteran yang bersara selepas itu.

“Perkara ini terjadi kerana pihak berwajib. Maksud saya Kementerian Pertahanan tidak melakukan pelarasan pencen setiap kali ada kenaikan gaji, semua ada termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga Akta Angkatan Tentera 1972,” ujarnya.

Terdahulu beliau menyatakan kekesalannya kerana isu dan usul dibawa berkaitan perkara itu sejak lebih setahun lalu ke Parlimen tidak mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya daripada Kementerian Pertahanan khususnya.

Bekas pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu mendedahkan perkara tersebut semasa berucap dalam Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini sebentar tadi.

Menurut beliau, sudah lebih 10 tahun para veteran itu menunggu Kementerian Pertahanan melaksanakan kenaikan pencen mereka, tetapi malangnya setakat ini pihak tersebut tidak pernah berusaha untuk melaksanakannya.

Dato’ Khlir difahamkan bahawa isu tersebut sudah dibawa ke Mesyuarat Kabinet, namun sehingga kini tidak dimaklumkan kepadanya dan patut ia diputuskan sebagaimana ketetapan Mahkamah Tinggi disebutkannya itu.

Veteran tersebut menurutnya, semasa dalam perkhidmatan sama ada di barisan hadapan atau kumpulan sokongan, telah bertugas 24 jam sehari dan 7 hari seminggu menghadapi ancaman luar dan secara berterusan.

Beliau menyifatkan veteran-veteran yang pernah bermandi peluh dan darah bertugas siang dan malam untuk menjaga negara sebagai keutamaan dahulu, tetapi kini kemurungan untuk menyara keluarga mereka.

Mereka itu katanya, ada dari zaman darurat, konfrontasi dengan Indonesia, mengawal sempadan-sempadan, bertempur menentang pengganas komunis di mana ada sengsara akibat cacat hilang anggota mempertahankan negara.

“Adalah diingatkan kepada kerajaan bahawa rata-rata umur veteran ini dah sampai ke penghujung usia. Dan kesihatan mereka juga tidak menentu. Kalau mengikut adatnya mereka tak lama lagi akan meninggalkan kita semua,” ujarnya.

Bidasnya, isu ini adalah satu tindakan berbentuk penindasan terhadap veteran ATM di mana hak mereka dinafikan dengan penuh kezaliman dan tidak berperikemanusiaan, ditambah pula kebanyakan veteran ini hidup dalam amat daif dan ramai yang menghidap penyakit.

Beliau juga membangkitkan isu pencen hilang upaya kekal dan cadangan pemberian elaun kepada pemegang pingat-pingat tertentu yang dianugerahkan. – HARAKAHDAILY 29/2/2024

- Advertisement -