Jerami padi gulung jadi tarikan orang ramai

Dekorasi 'I Love Yan'.
- Advertisement -

JERAI: Pesta jerami padi gulung antara tarikan unik apabila tiba musim kemarau tatkala selesai menuai padi.

- Advertisement -

Hampir setiap petang, apatah lagi di musim cuti sekolah, dataran jerami gulung dikunjungi orang ramai walaupun cuaca panas dan agak kering.

Kampung Kepala 10, Ulu Sedaka, antara lokasi paling popular, pesta jerami padi gulung telah dimulakan sejak tahun lalu.

Pemilik Warung Tepi Bendang (WATEB), Mat Desa Abu Hassan, antara individu yang berusaha bersama agensi berkaitan seperti Majlis Ketua Kampung (MKK) dan lain-lain menyelenggara dataran sawah padi itu dijadikan medan pesta jerami padi gulung.

Terdapat kira-kira 20 gulung jerami yang telah didekorasi dan dihias indah, selain tujuh tempat bergambar disediakan.

Pada setiap sudut yang disediakan untuk berfoto terdapat kata-kata menarik seperti ‘I Love Kedah’, ‘I love Yan’, ‘I love Wateb’, ‘Singbord Ulu Sedaka Yan Kedah’ dan lain-lain.

Malah pengunjung juga boleh menikmati keindahan ketika matahari terbenam.

ADUN Pengkalan Kundur, Mardhiyyah Johari turut merakamkan kenangan bersama pengunjung sewaktu berada di Jerami Gulung Viral Kampung Benua.

Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Jojo, hadir ke dataran jerami gulung kerana mahu menyaksikan sendiri keunikan yang menjadi buah mulut orang ramai.

“Saya datang bercuti ke rumah nenek di Pendang, depa (mereka) ajak, saya mai la nak tengok sendiri,” kata pelajar tingkatan empat sebuah sekolah di Seberang Perai.

Malah bapa saudaranya, Adam Shukri Ali, 20, telah pernah hadir ke Kampung Kepala 10 tahun lalu, menikmati keunikan yang sama.

“Ambil peluanglah, walaupun dah mai tahun lepas, kali nak mai juga sebab pesta jerami gulung ni ada masa musim kemarau sahaja, lepas tuai padi,” maklumnya.

Selain di Ulu Sedaka, Jerami Gulung Viral di Kampung Benua, Alor Setar juga tidak kurang hebatnya.

Selain dekorasi jerami gulung dalam pelbagai bentuk, terdapat juga pameran motosikal lama dan baharu di bendang terbabit. – HARAKAHDAILY 29/2/2024

- Advertisement -