Gangguan seksual: ‘Hazard’ psikososial di tempat kerja

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Islam menetapkan batas-batas pergaulan bagi mengekang gangguan seksual di tempat kerja, antaranya membetulkan niat sebelum ke tempat kerja. 

- Advertisement -

Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Ts. Shahronizam Noordin berkata, Islam mengajar menjaga batas dalam berkomunikasi dan juga menjaga jarak dan tingkah laku, akhirnya saling hormat antara satu sama lain. 

“Salah satu hazard psikososial yang terdapat di tempat kerja adalah berkaitan pergaulan yang boleh membawa kepada gangguan seksual. Hazard ini telah lama wujud semenjak kaum wanita memasuki alam pekerjaan. 

“Amerika Syarikat merupakan negara pertama yang menganggap gangguan seksual sebagai suatu bentuk diskriminasi seksual yang patut diharamkan,” ujar beliau di dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu menurut tinjauan yang dibuat oleh Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) kepada 23 buah negara telah mendapati 15 peratus hingga 30 peratus pekerja wanita mengalami gangguan seksual yang dilakukan oleh ketua atau rakan sekerja mereka. 

Di Malaysia mengikut sumber Parlimen Malaysia, dari tahun 2014 hingga tahun 2020 terdapat 911 kes gangguan seksual yang telah direkodkan. 

“Dari segi perundangan, secara khususnya belum terdapat peruntukan khas berkaitan gangguan seksual di Malaysia. 

“Antara yang ada ialah Kod Amalan untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja (1999) yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM).

“Namun begitu bagi kes-kes sivil berkaitan gangguan seksual boleh menggunakan peruntukan seperti Akta Perhubungan Perusahaan 1967, Akta Kerja 1955, Peraturan Pegawai Am (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan undang-undang tort. 

“Namun begitu, pemakaian undang-undang ini perlu melihat kepada konteks di mana kesalahan itu dilakukan,” tambah beliau.

Kata beliau, Bagi individu yang beragama Islam juga boleh menggunakan peruntukan di bawah Seksyen 29 dalam Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.

“Semoga kita semua dipermudah urusan dalam melaksanakan amanah dan tugasan di tempat kerja,” ujar Shahronizam. – HARAKAHDAILY 29/2/2024

- Advertisement -