Wujudkan ‘Green ATM’, bantu OKU miliki MPV

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang mewujudkan Mesin Teler Automatik (ATM) beras tempatan dan juga memberikan pengecualian kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) atau penjaga mereka untuk memiliki (kenderaan pelbagai guna) MPV.

- Advertisement -

Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkata, usaha tersebut adalah bagi membantu rakyat yang terkesan dengan situasi kos sara hidup semakin tinggi ketika ini.

Ujar beliau, ATM beras tempatan atau ‘Green ATM’ itu boleh diwujudkan di semua Pusat Khidmat Parlimen tanpa mengira kerajaan ataupun pembangkang sebagaimana yang dibuat di India, Thailand dan Indonesia. 

“Mereka boleh bawa kad (ATM), masuk kad keluar beras. Jadi kalau boleh ini, tak payah pakai beras import ni pakai beras tempatan sahaja. 

“Wujudkan ATM beras ataupun Green ATM ini kerana kita percaya program ini sangat membantu rakyat,” beliau berucap dalam Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini semalam.

Menurutnya, di Kelantan telah ada Beras al-It’am, manakala Kedah telah ada Beras Sejahtera, sementara di Terengganu telah ada Beras Ganu.

“Maka dalam keadaan gawat beras maka seeloknya diwujudkan skim ini sebaris dengan inisiatif lain dalam barangan asas agar tidak ada rakyat kita yang tiada beras di rumah mereka walau apapun tahap ekonomi mereka,” tambah beliau.

Beliau juga ingin memohon supaya pihak kerajaan membenarkan kepada keluarga OKU dan penjaga sah mereka diberikan pengecualian untuk memiliki kenderaan MPV.

“Kenderaan MPV yang dipasang di luar negara yang lebih besar dan selesa demi keselesaan mereka dan penjaga sehingga mana pengeluar kereta nasional ataupun tempatan mampu mengeluarkan kereta seperti ini untuk kegunaan mereka. 

“Jenama nasional berhenti pada Perodua Kijang dan Proton Juara dah tiada pelancaran baru atau model sama yang di upgrade. Kerana kenderaan yang ada tidak mampu untuk membantu OKU-OKU kita mencapai tahap selesa sebagaimana MPV Jepun yang lebih mesra OKU.

“Jadi kita mohon diberikan pengecualian kepada OKU dan juga penjaga mereka yang sah (memiliki MPV) untuk keselesaan digunakan oleh OKU,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 28/2/2024

- Advertisement -