‘Kita tiada kasut Cinderella, tongkat Nabi Musa’ – Fadhli

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan wajib memastikan rakyat berada dalam keadaan aman serta selesa dari sudut ekonomi dan juga kos sara hidupnya, demikian tegas Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas).

- Advertisement -

Menurut beliau, manusia mahukan dua perkara iaitu keamanan apabila takut dan juga kenyang ketika kelaparan sebagaimana yang difirmankan Allah SWT di dalam al-Quran pada ayat pertama hingga keempat surah Quraisy. 

“Kita alu-alukan pengumuman Perdana Menteri tentang usaha membasmi kemiskinan tegar yang sudah mencapai 100 peratus kononnya di Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan. Tapi timbul persoalan, adakah semua itu menggambarkan realiti sebenar berlaku kepada rakyat?

“Adakah kerajaan sedang seronok berada dalam gelembung kelompok mereka sendiri sahaja dan semakin rimas dalam mendengar keluhan rakyat?” ujarnya dalam Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini sebentar tadi.

Beliau mempertikaikan keprihatinan kerajaan kepada rakyat kerana ketika persidangan sedang berlangsung ketika itu hanya terdapat seorang sahaja Timbalan Menteri sudi hadir ke dewan pada waktu itu.

Ketua Penerangan PAS itu secara sinis menempelak seorang pemimpin politik yang kini adalah menteri kerajaan di mana pernah mempopularkan ‘Salam 4.4’ dalam meraikan kejatuhan nilai mata wang Ringgit pada tahun 2015 dahulu.

“Tak tahulah sekarang ini mungkin salamnya sudah berubah, ‘Salam 4.8’?. Isu Ringgit, saya sependapat dengan rakan saya YB Paya Besar yang menyatakan Ringgit bukan satu-satunya faktor untuk mengukur kekuatan ekonomi negara. Betul, saya setuju. 

“Saya setuju bahawa mana-mana kerajaan, jadi kerajaan, isu Ringgit ni tidak boleh kita nak baiki secara overnight. Tak boleh. Kita bukannya ada kasut Cinderella untuk berubah sekelip mata. Kita bukannya ada tongkat Nabi Musa untuk membelah laut, betul. 

“Tetapi persoalannya yang kita hadapi ini, kita berdepan dengan seorang Perdana Menteri yang sebelum ini menjanjikan macam-macam kepada rakyat,” ujarnya memetik kembali ungkapan-ungkapan pernah disebut Perdana Menteri.

Bidas beliau, ketika Perdana Menteri menepis keadaan ekonomi dihadapi kini dengan pelbagai alasan, hakikatnya hujah serupa terlebih dahulu digunakan pemimpin tertinggi itu semasa sebelum berada di jawatan kini.

Ahmad Fadhli juga membuat bandingan fakta dan data dipertikaikan oleh pemimpin tersebut pada waktu itu, tetapi hakikat serupa sedang terjadi ketika ini, namun Perdana Menteri terus mengungkapkan alasan-alasan.

“Ertinya kenapa masa itu kononnya seolah-olah bila mata wang Ringgit merosot, negara seolah-olah hampir hancur. Ooh… sekarang ini jangan digunakan sebagai modal politik. Menteri menyatakan untuk pastikan Ringgit tak jatuh, jangan ikat Ringgit, tapi ikat Najib.

“Sekarang saya nak tanya siapa yang patut diikat sekarang ini. Perdana Menteri kata okey tak apa Ringgit jatuh kerana keadaan inflasi turun betulkah begitu?” pertikainya kemudian mengemukakan data inflasi dari negeri-negeri.

Beliau turut mempertikaikan janji yang berbunyi sangat hebat daripada Perdana Menteri untuk memberi bantuan kepada rakyat sekiranya harta negara yang ‘disakau’ dapat dikembalikan semula.

Hakikatnya ujar beliau memetik kata bekas seorang Ahli Parlimen DAP yang mengingatkan Kerajaan untuk tidak menggunakan alasan ‘sakau’ itu untuk membantu rakyat di mana dapat dilakukan ketika ini.

Ahmad Fadhli turut menyentuh isu-isu teknologi digital melibatkan kecerdasan buatan (AI), 5G, Revolusi Industri 4.0, pembangunan literasi digital, jaringan Internet tidak stabil, keselamatan siber dan data raya serta perlindungan data peribadi. – HARAKAHDAILY 28/2/2024

- Advertisement -