Jangan politikkan pengurusan agihan zakat

- Advertisement -

KEPALA BATAS: PERIKATAN NASIONAL (PN) Pulau Pinang mengingatkan pihak tertentu tidak mempolemikkan institusi zakat khususnya pengurusan pengagihan zakat untuk kepentingan politik peribadi.

- Advertisement -

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN), Muhammad Fauzi Yusoff berkata, polemik timbul apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang seolah-olah diketepikan daripada mengikuti program pengagihan zakat.

Katanya lagi, permintaan ADUN pembangkang untuk mengadakan lawatan kerja ke pejabat Zakat Pulau Pinang bagi mendapatkan maklumat mengenai skim bantuan zakat juga tidak dilayan.

Menurutnya, kekangan dan halangan itu berlaku disebabkan wujudnya arahan lisan daripada pihak tertentu.

“Difahamkan ada satu sesi taklimat Skim Pakaian Seragam Sekolah dan Hamper Nur Ramadan ZPP 2024 telah diadakan pada 2 Februari di Kompleks Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam.

“Walau bagaimanapun, sesi kali ini hanya dihadiri oleh wakil pusat khidmat ADUN dari parti kerajaan tanpa dijemput wakil pusat khidmat ADUN pembangkang.

“Persoalannya, kenapa tidak dilibatkan wakil dari pusat khidmat ADUN pembangkang?” kata Fauzi dengan merujuk satu hantaran Facebook milik Zakat Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ADUN-ADUN PN di Markas PAS Pongsu Seribu, dekat sini, petang tadi. (Foto atas)

Menurutnya, tindakan seumpama itu sangat berbeza berbanding pengurusan zakat sebelum ini yang lebih profesional tanpa mengira latar belakang politik.

Malah katanya, sejak kebelakangan ini timbul desas-desus mengatakan institusi berkenaan dipaksa mengikut arahan pihak tertentu.

Jelasnya, ia dipercayai atas dasar kepentingan politik khususnya berkaitan agihan zakat dalam program bantuan Skim Pakaian Seragam Sekolah dan Hamper Nur Ramadan ZPP.

Justeru, Fauzi sebagai ADUN Sungai Dua dan Pesuruhjaya PAS negeri turut mengingatkan pihak berkenaan bahawa majoriti pengundi PN adalah pembayar zakat.

“Apakah pihak ini lupa bahawa pembayar-pembayar zakat di Pulau Pinang terdiri daripada mereka yang berlainan latar belakang pendidikan, kerjaya dan pelbagai ideologi politik yang selama ini memberikan sokongan kuat kepada institusi zakat sehingga menjadi antara agensi zakat keterhadapan di negara ini?

“Sedarkah mereka, jumlah pengundi Melayu telah memilih PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 boleh dijadikan kayu ukur, maka tidak keterlaluan secara hipotesis, majoriti pembayar zakat di negeri ini adalah pengundi PN,” ujarnya.

Beliau menegaskan zakat adalah hak Allah SWT yang tidak boleh sesekali disalahgunakan kuasa dalam pengurusan pengagihan untuk kepentingan politik pihak tertentu apabila pengagihan tidak melibatkan ADUN pembangkang.

“Saya mewakili semua ADUN pembangkang menuntut penjelasan kepada pihak berwajib berhubung isu ini dan mendesak supaya menghormati ADUN yang telah dipilih oleh rakyat.

“Jangan sekali-kali menjadikan agihan zakat untuk kepentingan politik peribadi. Hentikan kegilaan politiking ini,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 28/2/2024

- Advertisement -