Rakyat tertekan dasar fiskal negara lemah

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan bertanggungjawab terhadap segala dasar fiskal negara termasuklah pengurusan perbelanjaan dana negara dan pelaksanaan cukai yang dikenakan terhadap rakyat.

- Advertisement -

Menurut Profesional Istiqamah, tekanan sara hidup mula dirasai rakyat ekoran dasar-dasar fiskal lemah yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Menurutnya, tindakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim melantik diri sendiri sebagai Menteri Kewangan adalah satu tadbir urus yang tidak baik, malah melanggar janji politik yang sejak dahulu menjadi azimat sejatinya.

“Ringgit pula hampir mencecah angka terendah sejak 26 tahun lepas apabila mencapai nilai tukaran RM4.80 kepada dolar Amerika Syarikat (AS).

“Dalam masa sama, ringgit turut mencatatkan tukaran yang lemah berbanding mata wang serantau.

“Semua ini mencerminkan sesuatu bermasalah terhadap asas negara kita antaranya termasuklah ketidakyakinan pelabur besar terhadap polisi yang dibuat negara,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kerajaan juga telah memperkenalkan hampir enam cukai baharu yang tidak efisien ke atas rakyat atas dasar ingin menambah pendapatan negara.

“Namun yang menjadi masalah adalah cukai ini adalah cukai tidak telus yang membuka ruang manipulasi peningkatan harga oleh para peniaga.

“Selain itu, dasar penjimatan yang pelbagai sehingga menyaksikan pencen penjawat awam akan dihapuskan.

“Serta, keengganan kerajaan untuk berbelanja lebih untuk sektor kesihatan awam adalah satu langkah penjimatan yang akan menjerut rakyat pada jangka masa panjang,” katanya.

Tambahnya, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkelulusan sastera turut melantik Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang tidak akan menyelesaikan masalah rakyat, selagi mana masih berada dalam kementerian tersebut.

Menurutnya lagi, PERIKATAN NASIONAL (PN) yang melantik Ahli Parlimen Putrajaya, Dr Radzi Jidin sebagai Ketua Portfolio Kewangan adalah antara individu yang paling layak untuk bidang itu.

Katanya, Radzi Jidin akan mengisi usaha agresif untuk semak imbang segala dasar dan tatakelola lemah yang dilaksanakan oleh Menteri Kewangan.

“Beliau merupakan mantan pengajar di tiga buah universiti terkemuka dunia di Australia iaitu University of New South Wales (UNSW), The Australian National University (ANU) dan University of Tasmania (UTAS).

“Beliau juga merupakan seorang akauntan bertauliah (CPA), bekas ahli CPA Australia dan merupakan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pengauditan lepasan daripada The Australian National University (ANU), Canberra, Australia.

“Dengan kredibiliti ditonjolkan oleh Dr Radzi, rakyat menantikan segala semak imbang berkualiti terhadap kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/2/2024