PM, Kabinet perlu tunjukkan sifat negarawan

Datuk Razali Idris
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memahami maksud tersirat titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang cakna keadaan hidup lebih 33 juta rakyat Malaysia yang berkehendakkan keadilan dan pembelaan.

- Advertisement -

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris, berkata di bahu 222 Ahli Parlimen itu sebenarnya harapan lebih 33 juta rakyat yang telah diberikan amanah rakyat.

“Nadi denyut rakyat, susah payah rakyat, keluh kesah rakyat dan kesulitan rakyat itu sangat dirasai Sultan Ibrahim.

“Kerajaan seharusnya tidak berdolak-dalik dan wajib untuk memberikan peruntukan pembangunan kawasan (CDF) kepada wakil rakyat termasuk Senator Dewan Negara tanpa syarat dan berat sebelah.

“Peruntukan CDF ini patut diberi sebagai hak Ahli Parlimen tanpa mengira parti demi kelangsungan hak lebih 33 juta rakyat sebenarnya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Terengganu, berkata seharusnya Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan barisan Kabinet perlu menunjukkan sifat negarawan.

“Kerajaan perlu menghormati pilihan pengundi terutama di kawasan pembangkang dan tidak mengugut dan tarik tali kepada pembangkang.

“Tinggalkan sahaja amalan tidak adil ini yang bermula di zaman Barisan Nasional dan sekarang Pakatan Harapan pula,” katanya yang juga Ketua Penerangan BERSATU. – HARAKAHDAILY 27/2/2024

- Advertisement -