BERKAT ringankan beban golongan B40

Mastura menyantuni golongan B40 yang menerima sumbangan BERKAT di kawasan Parlimen Kepala Batas.
- Advertisement -

KEPALA BATAS: Kira-kira 40 individu meraih manfaat daripada projek Beras Untuk Rakyat (BERKAT) yang digerakkan Skuad Prihatin Dewan Muslimat PAS Malaysia.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad berkata, sebahagian penerima yang terdiri daripada golongan B40 mendapatkan bekalan beras di pusat khidmatnya.

“Ada sebahagian daripada penduduk di sini yang terputus bekalan makanan telah hadir mengunjungi pusat khidmat kita bagi memohon bantuan di bawah BERKAT.

“Sementara itu, kita juga menyampaikan sumbangan BERKAT dari rumah ke rumah di samping untuk menyantuni dan mendengar segala aduan masalah penduduk,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau merakamkan penghargaan kepada penderma dan penyumbang untuk Skuad Prihatin yang menyebabkan BERKAT berjaya dilaksanakan di seluruh negara. 

Terangnya, projek itu sekurang-kurangnya membantu meringankan bebanan golongan dalam kesempitan yang terjejas akibat kenaikan kos sara hidup sejak kebelakangan ini.

“Bantuan sebegini amat diperlukan apatah lagi umat Islam akan menyambut kedatangan bulan Ramadan dalam masa terdekat ini,” tambah beliau.

Ujarnya lagi projek BERKAT yang mendapat sambutan baik masyarakat akan diteruskan untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

Sehubungan itu katanya, Skuad Prihatin mengalukan-alukan sumbangan orang ramai yang boleh dibuat menerusi akaun Maybank 5640 2540 0533 atas nama Parti Islam Se-Malaysia. – HARAKAHDAILY 27/2/2024

- Advertisement -