Perdana Menteri digesa agar pecat Menteri Kewangan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim digesa agar memecat Menteri Kewangan ketika ini yang disifatkan gagal mengurus pelbagai isu ekonomi negara terutama soal kejatuhan nilai Ringgit berbanding Dolar Amerika Syarikat (USD).

- Advertisement -

Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, ia selaras dengan sikap yang diambil Perdana Menteri ketika menjadi Ketua Pembangkang dahulu di mana telah mengecam Menteri Kewangan di bawah kerajaan terdahulu kerana isu sama.

“Sebagai Perdana Menteri, YAB Tambun patut marah juga kepada Menteri Kewangan yang ada sekarang ini. Kena pecat Menteri Kewangan yang ada hari ini. Kerana prestasi Menteri Kewangan ini lebih teruk daripada Menteri Kewangan sebelum ini. 

“Saya hanya minta supaya YAB Perdana Menteri pecat Menteri Kewangan yang ada pada hari ini,” ujarnya membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini sebentar tadi.

Menurut beliau, rakyat kini mula bersuara mengenai kejatuhan nilai Ringgit yang mencecah nilai terendah iaitu RM4.80 berbanding USD1 dan hampir menyamai paras terburuk ketika berlakunya Krisis Kewangan Asia 1997. 

Kata Hamzah lagi, secara kebetulan Menteri Kewangan ketika Ringgit terburuk pada tahun 1998 dan semasa Ringgit menjunam pada RM4.80 sekarang adalah orang yang sama, iaitu Perdana Menteri ketika ini.

Ahli Parlimen Larut itu turut menzahirkan rasa kesal apabila Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan media usai mesyuarat Kabinet baru-baru ini mendedahkan bahawa mesyuarat tersebut tidak membincangkan mengenai isu tersebut.

“Harga barangan import khususnya makanan akan melambung tinggi. Apa kerajaan buat? Menteri Komunikasi kata Kabinet tak bincang isu Ringgit jatuh RM4.80. 

“Apakah isu ini tidak penting kepada kerajaan? Mana tanggungjawab kerajaan dalam isu seserius ini? Apa nak jadi dengan kerajaan ini?” soal beliau.

Hamzah turut mengimbau semula kata-kata pernah dilafaz Anwar di dalam ucapan-ucapannya yang kembali tular di mana pernah mengecam Menteri Kewangan kerajaan terdahulu akibat Ringgit jatuh iaitu, ‘Sebab apa Ringgit jatuh? Sebab hang tak reti jaga negeri ini!’.

Beliau juga mengimbau ucapan Anwar di Dewan Rakyat ketika itu yang melahirkan rasa hairan dan menyifatkan Menteri Kewangan semasa itu sebagai satu-satunya Menteri Kewangan di dunia yang tidak bimbang nilai Ringgit jatuh.

“Tiba-tiba sembang kari hari ini, dia kata apa? ‘Jangan jadikan isu kelemahan Ringgit sebagai isu politik’. Apa nak jadi? Bila kena batang hidung dia ‘tai chi’ (letak kesalahan pada pihak lain) habis,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 27/2/2024

- Advertisement -