Tepukan gemuruh kepada Johari, Hamzah, Awang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang mengarahkan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) digantung 4 hari, tetapi kemudian bersetuju membatalkannya setelah menerima permohonan maaf diajukan.

- Advertisement -

Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) menjadi perantara mengharmonikan situasi dan kematangan tersebut hingga seluruh Dewan memberikan tepukan gemuruh kepada mereka bertiga.

Datuk Awang pada mulanya diminta keluar selama 4 hari oleh Timbalan Yang di-Pertua, Alice Lau Kiong Yieng yang memaklumkan arahan oleh Tan Sri Johari itu, namun Ahli Parlimen dari Kedah itu meminta penjelasan.

“Saya tak tahu pun saya dihukum. Lepas tu saya nak minta, bagilah adil, jangan buat keputusan emosi. Apa yang saya nak tanya yang tu je. Sebab saya tak boleh mempertahankan diri tadi. Sebab saya tengok dalam hansard pun tak ada. 

“Tiba-tiba kata saya dihukum. Saya pun dapat tahu daripada luar saja,” pinta beliau namun Datuk Ngeh Ko Ham (PH-Beruas) menggesa Awang keluar hingga menyebabkan berlaku pertikaman lidah.

Tegas Awang, beliau bukan tidak mahu menerima penggantungan itu kerana ia hanya melibatkan kehadiran dan bukannya hukuman mati yang ditakuti, tetapi mahu mengetahui kesalahannya dan mesti dilakukan mengikut peraturan.

Datuk Awang setelah Tan Sri Johari mengambil alih sidang telah meminta penjelasan dan beliau diberitahu mengenai keengganannya menarik semula perkataan disebutnya semasa membantah agenda ucapan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Dato’ Seri Hamzah yang ketika itu bersedia untuk Ucapan Menjunjung Kasih Titah Diraja telah memohon Tan Sri Johari memberi kelonggaran dan meminta Awang menarik balik ucapannya serta memohon maaf.

Datuk Awang demikian itu menarik balik ucapannya serta memohon maaf dan Johari sedia menerima, sekali gus membatalkan arahan tersebut. – HARAKAHDAILY 27/2/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!