Beseri anjur PAT2024 peringkat DUN

- Advertisement -

PADANG BESAR: Pesta Angin Timur 2024 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Beseri bakal menggamit kemeriahan penduduk setempat pada Ahad, 25 Februari ini.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun berkata, pesta itu diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan masyarakat setempat.

“Menerusi program seumpama ini, kita dapat mendekati masyarakat dengan lebih rapat, boleh bertanya khabar serta berbincang jika ada masalah yang dihadapi mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya lagi, Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Beseri juga telah bersiap sedia untuk menganjurkan pesta tersebut di Kampung Padang Malau, Beseri, di sini.

Sepuluh acara menarik akan diadakan antaranya pertandingan wau, pertandingan membuat kerabu, bola sepak pakai kain lima sebelah, teka biji ketela dan terbei tin.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli juga dijadualkan hadir memeriahkan lagi majlis dan menyantuni penduduk tempatan pada tarikh tersebut.

Semua warga Beseri dijemput hadir untuk meraikan Pesta Angin Timur 2024 Peringkat DUN ini. Bagi sebarang pertanyaan, sila hubungi talian 017-855 8154 (Syafizi). – HARAKAHDAILY 23/2/2024

- Advertisement -