Rakyat Melaka ‘rindu’ Menu Rahmah

- Advertisement -

MELAKA: Rakyat Negeri Melaka sangat ‘merindui’ Menu Rahmah yang mula diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) bermula 31 Januari tahun lepas.

- Advertisement -

Ia disebabkan oleh menu tersebut yang merupakan inisiatif daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), kini semakin sukar ditemui di negeri ini.

Seorang pengguna, Fathanah Hassan, 28 berkata, beliau sudah jarang melihat label-label menu tersebut di kedai-kedai makan di sekitar Melaka.

“Macam dah tak nampak. Dekat Mydin tak pasti ada lagi ke tidak. Tetapi memang susah nak jumpa. Orang kata, ‘rindu’ jugalah dengan Menu Rahmah ni,” ujar beliau.

Namun, beliau berpandangan bahawa lebih penting ialah kerajaan perlu menurunkan harga barang secara keseluruhan dan bukan sekadar memaksa peniaga menjual dengan harga murah dalam keadaan harga bahan mentah tinggi.

“Saya rasa itu lebih baik daripada paksa peniaga makanan jual makanan dengan harga rendah sedangkan kos bahan mentah sangat tinggi.

“Seorang makcik saya pun berniaga makanan. Dulu memang dia ada jual Menu Rahmah. Tetapi sekarang memang tak dapat,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurut makcik beliau, tambah Fathanah, perniagaannya itu akan rugi jika masih mahu menjual pada harga RM5 yang ditetapkan kerajaan.

Beliau turut berharap agar kerajaan dapat menumpukan kepada usaha menurunkan harga barang dengan bersungguh-sungguh supaya nikmatnya dapat kepada semua rakyat sama ada golongan peniaga atau bukan.

Selain itu, seorang peniaga yang tidak mahu identiti dan perniagaannya didedahkan pula berkata, memang kos barang mentah yang mahal menyebabkan beliau tidak mampu lagi menyediakan Menu Rahmah itu.

“Kos barang mentah mahal. Macam mana nak jual RM5? Tak ada untung kalau macam tu. Memang ramai orang tanya, nak beli. Tapi nak buat macam mana?” ujarnya. 

Beliau yang menjaja makanan di tepi jalan itu berkata, pada masa ia diperkenalkan dahulu pun memang Menu Rahmah adalah sesuatu sangat sukar dilakukan kerana tidak menguntungkan.

“Seingat pakcik, dulu pun dekat Melaka ni kurang kita jumpa orang jual Menu Rahmah ni. Dekat KL mungkin banyak. Tapi di Melaka memang dari dahulu kurang. 

“Sebab masa tu pun kos bahan mentah dah mahal. Sekarang lebih teruk lagi. Macam mana nak jual Menu Rahmah?” ujarnya.

Fathanah Hassan

Tinjauan Harakah di medan selera di enam pasar raya utama yang menjadi tumpuan rakyat negeri itu mendapati hanya dua sahaja masih menawarkan Menu Rahmah, namun dengan menu sangat terhad.

Begitu juga dengan tinjauan di kebanyakan restoran-restoran sekitar Melaka juga sangat sukar untuk mendapatkan premis yang menjual Menu Rahmah.

KPDN semasa pelancarannya mendakwa terdapat sebanyak 15,000 premis menyertainya di seluruh negara, namun ia tidak ketara di Negeri Melaka sejak awal lagi. – HARAKAHDAILY 22/2/2024

- Advertisement -