Darul Niswah banyak bantu kehidupan wanita Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Darul Niswah yang merupakan satu badan di bawah Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita pada penggal ini terus ditambah baik bagi memperkasakan lagi kehidupan wanita dan beliawanis di Kelantan.

- Advertisement -

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, kerajaan negeri melalui Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita telah meletakkan 11 elemen bagi mencapai hasrat itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata antara 11 elemen itu ialah mewujudkan unit jahitan, kulinari, dapur hijau, perpustakaan, keusahawanan dan sebagainya, bahkan ia menjadi tempat bagi golongan tersebut meluahkan masalah yang dihadapi.

“Kita perkasakan dan nak supaya Darul Niswah ini menjadi ‘one stop center’ untuk wanita dalam komuniti ini, di sini tempat kita berkumpul dan belajar kemahiran masakan kraf mahupun jahitan, jika ada masalah boleh mari ke sini.

“Kita meletakkan di sini yang mesra wanita, kalau dia anak, boleh mari juga, kita ada sedia tempat untuk anak mereka belajar bermain pada masa sama dia boleh belajar dan anak dia pun ada sekali, ada banyak kemudahan,” katanya.

Bercakap pada satu majlis di Darul Niswah Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelawat dekat sini beliau berkata, selain itu anak bersekolah juga boleh dibawa ke lokasi yang dahulu dikenali Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK).

Ketua Dewan Muslimat DUN Jelawat itu berkata, pihaknya turut menyediakan kemudahan asas yang lain seperti bilik air untuk mandi dan membersihkan diri selepas balik sekolah serta makanan dan minuman disediakan secara percuma.  

Kemudahan yang disediakan akan memberi kemudahan kepada ibu dan anak-anak mereka sementara pulang ke kediaman masing-masing kata beliau lagi, pihaknya kini sedang berusaha untuk menambah lagi kemudahan seperti internet.

“Jadi inilah hasrat kerajaan negeri supaya menjadi tempat yang kondusif untuk wanita, jadi wanita pun suka mari dan anak-anak mereka pun boleh tumpang sekali, itu hasrat kita untuk memperkasakan lagi Darul Niswah ini.

“Nanti kita nak lihat di sini bukan sahaja ibu suka tetapi anak-anak gadis kita pun suka mari jadi insyaAllah kita akan lengkap dengan kemudahan internet masih dalam proses permohonan untuk melengkapkan lagi tempat ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/2/2024

- Advertisement -