Kadar kematian penyakit Tibi semakin membimbangkan

- Advertisement -

TUMPAT: Kadar kematian disebabkan penyakit tuberculosis (Tibi) kini begitu membimbangkan bukan hanya di peringkat dunia, tetapi juga di negara ini termasuk Kelantan.

- Advertisement -

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah berkata, sebanyak 846 kes penyakit itu dilaporkan berlaku di Kelantan pada tahun 2021 dan Malaysia keseluruhan sebanyak 21,727 kes.

Beliau memberitahu, di peringkat dunia data terkini dikeluarkan oleh Badan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2020, sejumlah 10 juta kes penyakit itu di seluruh dunia dengan jumlah kematian sebanyak 1.2 juta pada tahun 2019.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pemeriksaan Kesihatan Dan Saringan Penyakit Tibi Bersama Komuniti Tumpat yang diadakan di Klinik Kesihatan Pengkalan Kubor, di sini hari ini.

Ucapannya itu adalah bagi mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital Dan Inovasi, Wan Roslan Wan Hamat.

“Tahniah dan rakaman penghargaan atas usaha mengadakan kempen dan kesedaran serta komitmen tinggi yang diberikan dalam menjayakan program ini.

“Terima kasih kepada pihak penganjur terdiri daripada Persatuan Pencegahan Tuberkulosis (MAPTB) Kelantan, Jabatan Imunologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia,” katanya.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Klinik Kesihatan Pengkalan Kubor, Unit Tuberkulosis/Leprosi PKD Tumpat, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Dana Kemanusiaan Papisma (DAKAP) dan Kelab Budaya Sihat Kelantan.

Pada majlis itu juga, beliau menyeru orang ramai menjaga kesihatan sebaiknya bagi mencegah gejala berkenaan kerana penyakit tersebut boleh terkena sesiapa sahaja dan di mana sahaja.

“Jaga kebersihan diri, jaga kesihatan, kerap membasuh tangan dan sebagainya.  Mencegah itu lebih baik dari mengubati,” sambungnya lagi. – HARAKAHDAILY 22/2/2024

- Advertisement -