KUALA LUMPUR: Akidah mantap serta ukhwah erat antara agenda yang akan ditekankan dalam Lajnah Pembangunan Insan dan Kerukunan Rumahtangga (LPIKK) PAS Pusat.
Pengerusinya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata, kepimpinan berwibawa dan ahli berkualiti juga menjadi empat perkara yang mesti ada dalam gerakan Islam.
“Saya cuba bawa perkara ini dalam lajnah kita supaya kita dapat melahirkan ahli-ahli serta keluarga yang berkemahiran.
“Empat perkara ini yang dipesan oleh ulama untuk memantapkan jemaah kita,” katanya ketika berkongsi matlamat dan hala tuju lajnah baharu tersebut.
Ahli Parlimen Rantau Panjang itu, berkata, LPIKK mencadangkan lima teras iaitu dari sudut latihan, kewangan, pembinaan generasi pelapis (generasi rabbani) dan cadangan program khas untuk wanita.
“Kita nak keluarga ahli PAS bukan sahaja mantap dari sudut semangat dan perjuangan, tetapi dari sudut kemampuan, daya jati diri dan kemampuan ekonomi untuk membantu masyarakat.
“Jadi hendak membantu masyarakat ini perlu ada kemahiran. Perkara ini yang kita akan buat,” kongsi Siti Zailah
Menurut beliau, LPIKK juga akan membimbing ahli-ahli di seluruh negara mengenai ilmu gajet kerana ia merupakan cabaran masa kini iaitu kemahiran penggunaan gajet.
Bekas Timbalan Menteri Kebajikan Wanita itu itu juga akan berusaha membantu keluarga yang bermasalah seperti penceraian dan anak luar nikah.
Sehubungan itu, beliau berusaha akan mewujudkan talian kaunseling dan mencari sukarelawan untuk menjadi skuad prihatin keluarga.
Jelasnya, sukarelawan tersebut adalah dalam kalangan mereka yang mahir bidang kaunseling supaya dapat membantu keluarga bermasalah.
Menurut beliau, tempoh kadar perceraian di Malaysia paling tinggi iaitu antara 3 hingga 5 tahun perkahwinan dan mereka adalah terdiri dalam kalangan pasangan muda.
Ketika menjadi Timbalan Menteri Wanita, beliau banyak melaksanakan program mengatasi masalah keluarga tetapi usaha itu masih tidak mencukupi.
“Saya harap peranan masyarakat termasuk gerakan Islam perlu bersama untuk membantu keluarga yang bermasalah,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/2/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!