Harakah sumber maklumat, jadi inspirasi perjuangan

- Advertisement -

KANGAR: Surat khabar Harakah bukan sekadar penghantar maklumat, tetapi ia adalah sumber inspirasi yang tidak boleh ditukar ganti, demikian kata pengedar setia Harakah, Ustaz Yahaya Ahmad.

- Advertisement -

Menurut beliau yang setia mengedarkan akhbar lidah rasmi PAS itu sejak tahun 1987, meskipun era digital semakin meluas, namun kehadiran akhbar cetak masih tetap mempunyai peminatnya tersendiri.

“Bagi kami, orang-orang tua, kehadiran surat khabar cetak bukan sekadar penghantar maklumat, tetapi ia juga menjadi sumber inspirasi yang tidak dapat digantikan oleh telefon atau skrin komputer,” katanya ketika ditemui di Kompleks PAS Perlis, di sini, hari ini.

Beliau, yang telah menggalas amanah sebagai pengedar selama lebih dari tiga dekad, mengimbau kembali betapa pada masa silam, ribuan naskhah Harakah diburu setiap minggu. 

Namun kini beritahunya, jumlah itu telah menyusut secara drastik, hanya 50 naskah dalam setiap edisi.

Menyedari akan keperluan kesinambungan pembacaan akhbar cetak, beliau menyeru wakil-wakil rakyat untuk mengambil langkah dengan melanggan dan menyebarkan Harakah hingga ke peringkat cawangan.

“Wakil rakyat perlu menjadi teladan dengan memperkasa pembacaan akhbar, kerana di situlah titik permulaan transformasi masyarakat kita,” tambahnya.

Akhbar Harakah, sejak permulaannya pada tahun 1987, telah menjadi tonggak penting dalam pemberitaan PAS, dan dengan permit penerbitan yang diperolehi pada 1 Mac 1987, ia mula menapak sebagai suara alternatifmenggema dalam arena politik.

Edisi pertamanya, pada 3 April 1987, diserahkan kepada pembaca tujuh hari sebelum Muktamar PAS ke-33, menandakan permulaan sebuah perjalanan yang penuh dengan dedikasi dan semangat perjuangan.

Dari hanya dijual kepada ahli PAS, kini akhbar ini telah membuka ruangannya kepada semua lapisan masyarakat, menjangkau lebih jauh lagi dalam menyuarakan idealisme dan aspirasi politik tanah air. – HARAKAHDAILY 22/2/2024

- Advertisement -