Peranan as-sunnah sebagai sumber hukum

Dato' Dr Mahfodz Mohamed
- Advertisement -

DARI segi bahasa as-sunnah bererti suatu cara atau jalan sama ada jalan itu  baik atau buruk.

- Advertisement -

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa yang melakukan sunnah (jalan) yang baik maka baginya pahala dan pahala orang yang mengikutinya hingga hari kiamat dan barangsiapa yang melakukan sunnah (jalan) yang buruk maka baginya dosa dan dosa orang yang mengikutinya hingga hari kiamat.” (Riwayat Muslim)

Menurut istilah ahli-ahli hadis, as-sunnah ialah apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW sama ada percakapan, perbuatan atau ketetapan atau yang berupa akhlak atau sirah, sama ada berlaku sebelum Nabi diutuskan menjadi Rasul atau selepasnya.

Sementara menurut  istilah ulama’ usul, as-sunnah ialah apa-apa yang didapati dari Rasulullah SAW sama ada dari segi percakapannya, perbuatannya atau ketetapannya. Contoh percakapan Nabi SAW ialah apa-apa yang diucapkan oleh Nabi SAW dalam beberapa peristiwa  yang berkait dengan hukum-hukum syarak seperti  sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya segala amalan itu bergantung kepada niat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Dan sabdanya yang bermaksud: “Jual beli itu adalah dengan pilihan  dua belah pihak selagi kedua belah pihak belum berpisah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Contoh perbuatan Nabi SAW ialah apa-apa yang disampaikan oleh para sahabat daripada perbuatan-perbuatan Nabi SAW dalam masalah  ibadah dan lain-lain seperti cara Nabi menunaikan solat, menunaikan ibadah haji, adab-adab berpuasa dan sebagainya.

Manakala ketetapan  Nabi SAW ialah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Nabi SAW daripada perbuatan para sahabat serta sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak akan kamu solat asar melainkan di Bani Quraidzah.”

Setengah sahabat memahami sabda Nabi SAW itu sebagai larangan. Maka setengah sahabat menta’khirkan solat asar hingga lepas solat maghrib. Manakala setengah sahabat memahami sabda Nabi SAW itu hanya bermaksud  supaya menyegerakan solat pada waktunya. Apabila kedua-dua perbuatan sahabat itu disampaikan kepada Nabi SAW maka Nabi  menyetujui kedua-dua perbuatan sahabat tersebut dan  tidak mengingkarinya.

Kewajipan mentaati Rasulullah SAW semasa hayat dan selepas kewafatannya

Pada masa hayatnya Rasulullah SAW, para sahabat memperolehi hukum-hukum  syarak daripada al-Quran al-Karim yang diterimanya daripada Rasulullah SAW. Kebanyakannya diturunkan ayat al-Quran secara umum dan secara mutlak seperti perintah untuk menunaikan solat disebutkan  secara  umum, dengan tidak dijelaskan berapa rakaatnya, bagaimana cara hendak menunaikan  dan tidak diterangkan  tentang waktu-waktu solat.

Begitulah juga  mengenai kewajipan membayar zakat disebutkan secara mutlak. Tidak dijelaskan berapa had minimanya dan berapa kadar yang wajib dibayar dan syarat-syaratnya. Maka begitulah jika  banyak hukum-hakam yang tidak dapat  dilaksanakan melainkan  kena rujuk kepada Rasulullah SAW untuk mengetahui hukum-hakam secara terperinci  dan jelas kerana Rasulullah SAW yang menerima wayhu dari Tuhannya dan yang lebih mengetahui dengan maqasid syariah, batas-batas manhaj dan matlamat utamanya.

Allah SWT telah menjelaskan mengenai peranan  Rasulullah SAW terhadap al-Quran al-Karim sebagai penjelas dan penerang kepada ayat al-Quran. Firman Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami menurunkan al-Quran (wahai Muhammad) melainkan  supaya engkau menerangkan kepada mereka akan apa yang mereka berselisih padanya. Dan supaya menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman .” (An-Nahl: 64)

Allah juga menjelaskan bahawa peranan Nabi SAW untuk mengajar manusia mengenai hukum-hakam Islam. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya  Allah telah mengurniakan (rahmatnya) kepada orang-orang  yang beriman setelah ia mengutuskan  dalam kalangan mereka seorang rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat al-Quran yang  membuktikan keesaan Allah dan  kekuasaaannya dan membersihkan mereka (dari iktikad yang sesat) serta mengajar mereka kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum syariah).” (Ali-Imran: 164)

Selain daripada al-Quran Allah telah mengurniakan sesuatu yang wajib diikuti sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Iaitu orang-orang yang mengikuti Rasulullah (Muhammad SAW) Nabi yang “ummi” yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) dalam Taurat dan Injil yang ada disisi mereka. Ia menyeru yang baik  dan melarang mereka daripada melakukan perkara yang keji dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.” (Al-‘Araf: 157)

Dengan  yang demikian Allah mewajibkan kepada umat Islam  supaya mengikuti Rasulullah SAW dalam perkara-perkara yang disuruh dan meninggalkan apa-apa yang dilarang. Firman Allah maksudnya: “Dan apa jua perintah  yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya.” (Al-Hasyr: 7)

DATO’ DR. MAHFODZ MOHAMED
Pengerusi As Sabiqun PAS Pusat – HARAKAHDAILY 8/2/2024

- Advertisement -