Pemuda PN garis langkah atasi kurang tenaga kerja mahir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cadangan pengambilan graduan asing sebagai tenaga kerja mahir dalam sektor teknologi di negara ini dilihat tidak adil kepada graduan dalam negara, demikian tegas Pemuda Perikatan Nasional (PN).

- Advertisement -

Dalam satu kenyataan mereka menegaskan, ini memandangkan anak muda tempatan sendiri sedang bergelut dalam masalah kebolehpasaran dan penawaran kerja yang tidak setimpal dengan kelayakan mereka.

Kata mereka, manakala Malaysia dikenalpasti mengalami krisis kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk mengisi permintaan semasa sejak 2021 lagi sebagaimana diakui oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ketika itu Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menurut Pemuda PN, cadangan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz itu ada benarnya jika betul Malaysia sangat-sangat kekurangan tenaga mahir dalam tempoh terdekat.

“Namun, ia wajib kekal sebagai cadangan sementara bagi menampung permintaan pelabur yang sedang tinggi sahaja. Cadangan ini dilihat membimbangkan memandangkan terdapat sikap semasa majikan di negara ini yang terlampau mengutamakan pekerja asing.

“Termasuklah dalam bidang berkemahiran tinggi sehingga menafikan hak anak tempatan. Semua ini berlaku gara-gara mengejar penjimatan kos demi pembayaran gaji yang lebih murah.

“Hal ini seterusnya menyebabkan anak tempatan tidak lagi berminat menyambung pelajaran dalam bidang berkaitan ekoran upah dan gaji yang tidak setimpal,” ujar kenyataan itu.

Mereka memetik kata-kata Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat bahawa terdapat majikan dalam negara yang mempunyai sikap pilih kasih dan melebihkan pekerja asing dari sudut kadar bayaran gaji.

Menurut mereka, dalam tempoh yang sama juga, hal paling utama adalah kerajaan menerusi kerjasama pelbagai agensi dan pihak industri perlu memperkasa usaha sedia ada dalam mewujudkan tenaga kerja mahir mencukupi dari kalangan anak tempatan sesuai dengan unjuran jangka masa hadapan.

“Usaha yang pernah digerakkan pada 2022 oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Technical Working Group on Human Capital (TWGHC) di bawah Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH).

“(Iaitu) untuk mengatasi kekurangan pekerja sama ada pekerja mahir, separa mahir dan kurang mahir dalam sektor pembuatan, pembinaan, aeroangkasa, dan perladangan di Malaysia wajar diperhebatkan dan diberikan nafas baharu.

“Bidang informasi teknologi dan kecerdasan buatan, tenaga boleh baharu dan alam sekitar, kesihatan dan bioteknologi serta ekonomi digital telah dikenalpasti oleh majoriti pemain industri sebagai sektor yang akan berkembang pesat dan memerlukan permintaan tinggi untuk 10 tahun akan datang.

“Negara tidak lagi boleh mengulangi kesilapan dahulu yang lambat mengenalpasti pola perkembangan teknologi semasa serta gagal membuat persediaan dan penyesuaian domestik kearah perkembangan global.

“Bagi memastikan negara dapat mengejar perkembangan semasa, unjuran dan ramalan perlu dibuat untuk jangka masa lebih jauh kehadapan. Janganlah industri yang sedang kemuncak pada tahun 2025-2030, kita baru hendak memulakan pengambilan graduan pada 2024.

“Tempoh masa persediaan dan pengajian yang diambil untuk melatih dan mendidik graduan akan menyebabkan kita sekali lagi terlepas waktu yang sesuai untuk menyediakan tenaga pakar yang bersesuaian dengan permintaan semasa,” ujar mereka.

Kata Pemuda PN, masalah yang sedari dulu membelenggu negara adalah kegagalan merancang dan merangka perkembangan masa hadapan di mana hal ini termasuklah dari sudut pembekalan tenaga kerja mahir daripada graduan tempatan.

Manakala pihak pemain industri pula kata mereka, terlalu sibuk mengejar keuntungan sehingga memandang enteng pembayaran gaji yang setimpal dengan maruah dan kemahiran diberikan anak tempatan.

“Sesungguhnya, polemik yang tercetus ekoran idea Tengku Zafrul ini wajar menjadi signal kepada kementerian-kementerian terbabit seperti KPT, MITI dan KPM agar serius dan matang merencana pelan strategik untuk negara.

“Tiada lagi perancangan silo dan bersifat syok sendiri. Negara memerlukan sinergisme utuh antara pemain industri dan kerajaan dalam mempersiapkan Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi,” tegas kenyataan itu.

Tambah Pemuda PN, hal ini termasuklah dalam menyediakan tenaga kerja mencukupi oleh pihak kerajaan, polisi menggalakkan penyertaan anak tempatan dalam bidang teknologi serta pendirian pemain industri untuk mengubah cara pengurusan yang terlampau berkiblatkan kapitalisme. – HARAKAHDAILY 8/2/2024

- Advertisement -