SST naik: Rakyat terhimpit, kos sara hidup meningkat

Ahmad Azlan Abu Bakar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada enam kepada lapan peratus membuktikan kerajaan PH-BN bercakap tidak serupa bikin.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, kenaikan cukai SST itu telah dilaksanakan bermula 1 Februari lepas.

Menurutnya, khabar dilaksanakan kenaikan SST itu bertujuan untuk mengambil hasil negara dan pertahankan kestabilan fiskal negara kerana dapat dilihat dengan kenaikan harga barang keperluan.

Contohnya menurut Ahmad Azlan, ulasan Presiden Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia, Datuk Mohamad Shafie memaklumkan terdapat lonjakan harga barang sebanyak 15 peratus baru-baru ini.

“Ini jelas menunjukkan berlaku kenaikan harga yang jelas membebankan rakyat khususnya dari kalangan B40 dan M40 dan tidak terkecuali T20.

“Saya berpandangan langkah yang diambil oleh kerajaan merupakan satu langkah regresif. Ini kerana pengenalan kembali SST, sebenarnya membuka ruang kepada manipulasi harga kerana tiada ketelusan dalam pelaporan cukai,” tambah beliau.

Menurut beliau, Kerajaan PH-BN seperti tandus idea dan formula dalam memastikan hasil negara dipertingkatkan kerana mengambil jalan mudah dengan mengenakan cukai kepada rakyat.

Tambahnya, PAS melalui Dokumen Hijau ada melontarkan idea dalam menggantikan SST mahupun GST yang pernah diperkenalkan oleh Kerajaan PH-BN.

“(SST dan GST digantikan) Dengan satu mekanisma cukai baru yang dinamakan cukai atas simpanan syarikat dan korporat dan juga cukai perdagangan keuntungan saham.

“Saya kira mekanisma cukai sebegini lebih membumi kepada mereka yang layak dikenakan cukai.

“Berdasarkan kajian yang dibuat pada 2016, jika dilaksanakan ia mampu menjana hasil kepada negara sekitar RM50 bilion dan ke atas,” tambahnya yang mengukuhkan cadangan PAS melalui Dokumen Hijau.

Namun menurutnya, Kerajaan PH-BN dipimpin Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hanya pandai berkata-kata, akhirnya rakyat mengadu terhimpit dengan tekanan kos sara hidup yang meningkat.

“Sejujurnya saya merasai apa yang diluahkan oleh rakyat kesan kenaikan kos sara hidup hari ini, saya berharap kerajaan menyemak semula mekanisma percukaian terutama kenaikan kadar SST dan juga SST itu sendiri,” tambahnya.

Doa beliau agar ada sinar ekonomi negara ini bertumbuh kembali dan rakyat secara keseluruhannya boleh kembali mendapat kuasa beli mereka.

“Agar kitaran ekonomi negara kembali pulih sekali gus memperkukuhkan kembali pertumbuhan ekonomi negara yang kita cintai ini,” harap beliau. – HARAKAHDAILY 7/2/2024

- Advertisement -