‘Kini mereka kacau pula undang-undang syariah’

Mohd Harun Esa
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang cuba merungkai undang-undang syariah merupakan langkah ‘jahat’ dan cuba mencabar kesabaran umat Islam.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Harun Esa berkata, golongan berkenaan semakin berani selepas masuk campur dalam pelbagai isu berkaitan Islam seperti etika berpakaian menutup aurat, larangan berjudi dan minum arak bagi umat Islam serta mempertahankan orang murtad.

“Kini mereka mengacau pula undang-undang syariah.

“Malang akan menimpa umat Islam jika cubaan puak ini berjaya, impak pembatalan kesalahan jenayah syariah ini begitu besar dan dahsyat sehingga boleh meruntuhkan keseluruhan undang-undang jenayah syariah negeri-negeri.

“Bahkan boleh menyebabkan enakmen kesalahan jenayah syariah negeri ‘hilang bisa’ dalam menjaga dan melindungi umat Islam dalam negara ini.

“Itulah harga yang perlu dibayar jika umat Islam masih tidak mempedulikan isu ini sehingga membiarkan puak yang tidak takut dengan azab Allah ini bebas berbuat apa-apa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut kata beliau, kes Nik Elin Zurina yang kini berada di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar sebahagian besar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Negeri Kelantan 2019, seharusnya membangkitkan kebimbangan umat Islam.

“Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) menggesa semua pihak bersatu hati dalam mendepani propanganda jahat musuh dengan bersama-sama menyertai Himpunan Selamatkan Syariah pada 9 Februari di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya.

“DPPNT juga mahu Kerajaan Malaysia untuk lebih serius dan tegas bagi mempertahankan keutuhan syariat Islam di Malaysia. Hak umat Islam harus dilindungi dengan tegas tanpa kompromi oleh mana-mana pihak.

“Kami juga menyeru agar Kerajaan Malaysia mencontohi Terengganu yang sedang giat untuk menegakkan syariat Islam meskipun ada pihak yang berusaha sebaliknya,” ujarnya.

Kata beliau, pelbagai program pendidikan bagi mengasah kefahaman berkenaan hidup bersyariat seperti Simposium Pelaksanaan Syariah Terengganu dalam Itqan al-Muluk Bita’dil Assuluk, kempen Indahnya Hidup Bersyariah, penganjuran Bulan Penghayatan Ibadah Solat dan Terengganu Hijab Day merupakan langkah yang diambil Kerajaan Negeri.

“Tindakan ini wajar ditiru kerana ini akan mendekatkan rakyat dengan syariat, bukan menjauhkan apatah lagi menghalang,” katanya.  – HARAKAHDAILY 7/2/2024

- Advertisement -