Mencari Masjid Rusila kedua

Masjid Rusila.
- Advertisement -

PADA tahun 1970-an, apabila arwah bapa membawa kami sekeluarga balik kampung dari Cukai, Kemaman ke Kampung Tok Kaya, Cabang Tiga, Kuala Terengganu, kami melintasi Kampung Rusila. Banyak pokok kelapa. Di sebuah masjid kayu sebelah kiri, terdengar suara ada ustaz mengajar pada waktu duha Jumaat. Saya tak tahu siapa yang berkuliah ketika itu.

- Advertisement -

Pada tahun 1985, sementara menunggu keputusan SPM, saya berulang-alik ke Masjid Rusila setiap Jumaat mengikuti kuliah duha Tok Guru. Terima kasih kepada abang Syed yang membawa saya dengan keretanya ke Rusila. Kekadang pergi dan balik dengan bas merah itu dari Cukai, Kemaman ke Rusila.

Pernah saya membawa radio transistor kecil untuk merakam kaset kuliah duha Jumaat Tok Guru. Saya duduk paling dekat dengan meja Tok Guru. Bila nak pasang kaset, tak dapat. ‘Jettak’, kata orang Terengganu. Tok Guru seperti memandang ke arah kaset itu. Mungkin agak mengganggu kuliahnya.

Masa berlalu, kuliah Tok Guru makin dikenali. Ramai yang datang membawa anak bini. Sudah ribuan orang datang mengaji. Di tepi masjid, sudah menjadi pasar pagi.

Kemudian, masjid yang tidak lagi kayu sudah menjadi bertingkat. Dewan Tok Guru dibina di sebelah masjid untuk pelbagai program bermanfaat. Bangunan Maahad Darul Quran bertambah di tanah sana, semoga berkat.

Apabila pandemik Covid-19 melanda, PKP diisytiharkan, kedatangan ke masjid juga dihadkan. Sedikit sebanyak ia memberi kesan kepada aktiviti dan kehadiran ke kuliah duha Jumaat Tok Guru.

Sehingga 40 tahun lebihkurang, Tok Guru tetap istiqamah berkuliah duha Jumaat.

Di Kemaman, saya mengambil tempat almarhum Ustaz Awang Dagang, Yang Dipertua PAS Kemaman yang juga mantan Exco kerajaan Terengganu untuk berkuliah duha Jumaat di Balai Istiqamah, Kampung Injin Gergaji.

Kuliah duha Jumaat itu dibuat setelah ada usul perwakilan dalam mesyuarat agung kawasan agar diwujudkan kuliah duha Jumaat seperti di Rusila. Lalu almarhum Ustaz Awang Dagang berkuliah duha Jumaat sehingga sebelum ke akhir hayatnya, apabila saya nengambil-alih.

PAS kini memerintah Terengganu untuk penggal kedua di era Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri menjadi Menteri Besar. Pada sesi lepas, MB ada menyebut: ‘Jumaat hari ilmu. Sabtu hari keluarga’.

Satu nasihat yang baik untuk rakyat negeri ini. Soalnya bagaimana dengan sambutan rakyat untuk menjadikan Jumaat hari ilmu? Terutama menuruti apa yang dibuat di Masjid Rusila iaitu kuliah duha Jumaat yang memfokuskan kitab tafsir, di samping kitab-kitab lain?

Saya yakin di setiap kampung, mukim dan daerah di Terengganu dipenuhi aktiviti kuliah agama yang sangat banyak. Kita tidak kurang pengkuliah, tetapi kita kekurangan ahli jemaah di surau dan masjid. Yang ada beberapa kerat di surau dan masjid, itulah sahaja yang memakmurkannya, melainkan bila ada penceramah selebriti, barulah tiba-tiba sahaja penuh.

Sepatutnya di setiap daerah atau DUN di Terengganu, ada kuliah duha Jumaat di masjid tertentu. Penyokong, pendukung, pemimpin gerakan Islam yang mahu menegakkan Islam dan yang bersama dengan parti dan golongan Islamlah yang paling layak memakmurkannya. Biar kita bersama dengan perjuangan Islam ini atas dasar ilmu yang benar. Bukan hanya gelombang atau sentimen yang bersifat hangat-hangat tahi ayam.

Sejak kecil saya diajar: Carilah ilmu itu di mana sahaja dan dengan siapa. Mungkin guru itu tidak terkenal. Biarlah. Mungkin penyampaiannya tidak menarik tapi ilmunya hebat. Mungkin suaranya tidak jelas tapi hukum-hakamnya jelas.

Untuk menjadi seperti kuliah duha di Masjid Rusila bukanlah mudah. Kehadirannya tidak sama. Kemeriahannya tidak sama. Ketokohannya tidak sama. Bangunan Dewan Tok Guru dan Maahad Darul Quran yang naik di sebelah Masjid Rusila juga tentunya tidak sama.

Satu kebetulan yang sama bagi saya secara peribadi sekarang ialah Tok Guru berkuliah duha Jumaat menafsirkan ayat 117 surah an-Nisa, dan saya sedang menghuraikan ayat 117 hingga 122 dari surah yang sama. – HARAKAHDAILY 3/2/2024

Penulis ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Kemaman.

- Advertisement -