Lelaki maut selepas terjun sungai lari serbuan polis

Mayat seorang lelaki dtemui di sungai Jeti Pengkalan Petah, Kota Bharu, Kelantan pada 31 Jan 2024. (FOTO: Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan)
- Advertisement -

KOTA BHARU: Seorang lelaki berusia 39 tahun ditemui mati lemas selepas terjun ke dalam sungai ketika cuba melarikan diri dalam satu serbuan polis.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata dalam kejadian di Jeti Pengkalan Petah, di sini, semalam itu, mangsa terlibat bertindak melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai dari bot yang diniaki dan cuba berenang ke tebing sungai sebelum dipercayai tenggelam.

- Advertisement -

“Lebih kurang jam 4.36 petang itu, pihak polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bachok telah menerima maklumat bahawa salah seorang suspek bertindak melarikan diri dengan terjun ke sungai dan dipercayai tenggelam 

“Hasil siasatan mendapati sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah sedang membuat serbuan di jeti itu pada hari kejadian,” katanya.

Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan bersama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi mengesan mangsa.

“Pada jam 7 malam, mayat mangsa ditemui pada jarak 10 meter dari lokasi kejadian,” ujarnya dalam kenyataan kepada media,di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati mangsa mempunyai enam rekod positif dan memiliki dadah.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. 

“Ekoran serbuan itu, pihak polis turut berjaya menangkap dua lagi suspek di bawah Seksyen 15(1)(a) dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

Kesemua suspek dibawa ke IPD Bachok untuk siasatan lanjut.  HARAKAHDAILY  1/2/2024

- Advertisement -