Golongan belia wajib bersama pertahan kesucian Islam

- Advertisement -

KOTA BHARU: “Apabila ingat seperti ini rasa nak tukar usia sekarang 74 kepada 47 untuk terus berjuang pertahankan agama Islam kita sekarang ini,” kata Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Pesuruhjaya PAS Kelantan itu menggambarkan situasi apabila semakin ramai berani mencampuri hal ehwal Islam termasuk cubaan membatalkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Beliau turut menggesa golongan belia supaya bersama-sama mempertahankan kesucian agama Islam daripada terus diperkotak-katik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

- Advertisement -

“Masa ini sebenarnya peluang yang terbaik untuk ‘set up’ semula semangat jihad bagi mempertahankan kesucian agama kita dan mempertahankan kedaulatan bangsa Melayu tuan negara ini.

“Dengan bantuan sahabat saya sangat bersyukur kerana kita faham tugas kita semakin besar di hadapan, insya-Allah dengan adanya bimbingan dari PAS berterusan insya-Allah kita mampu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Pengurusan dan Pentadbiran Majlis Tindakan Dun (MTD) dan Pusat Khidmat Dun (PKD) di Putik di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan merangkap Exco Kerajaan Negeri, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat dan Pengarah Pusat Kajian Strategik (PKS), Dr Wan Nik Wan Yusoff.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Pekan yang juga mantan Menteri Besar itu berkata, PAS Kelantan terus membuat persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Beliau berkata dinamik pilihan raya dalam tempoh lima tahun akan datang boleh berlaku menyebabkan strategik dan pendekatan perlu dirancang lebih awal bagi menghadapi pihak lawan.

Menurutnya, sekiranya hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang membentuk kerajaan hari ini, semakin erat, ia bakal memberi cabaran besar kepada PERIKATAN NASIONAL.

“Walaupun mereka satu waktu itu mereka jadi musuh tetapi akhirnya kita takut mereka menjadi kawan baik, waktu itu kita akan hadapi satu cabaran pada PRU16 nanti.

“Jadi tepatlah usaha Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan mengadakan seminar pada hari ini untuk kita buat persiapan awal untuk hadapi pilihan raya nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/2/2024

- Advertisement -