Ditangkap bukan kerana berlindung di taman laut

Foto daripada portal rasmi Jabatan Perikanan Malaysia
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Indutsri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim menyifatkan soalan yang dikemukakan oleh peserta pada satu majlis libat urus bersama nelayan sebagai ‘nakal’.

- Advertisement -

Menerusi satu hantaran di laman Facebook, beliau memetik pertanyaan yang disifatkan ‘nakal’ itu pada majlis yang diadakan kelmarin.

“Sebab apa bot nelayan tak boleh berlindung di pulau taman laut bila ribut. Kita berenti berlindung kena tangkap. Abih tu kalu ribut di laut nak gi mana?”

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabu menjelaskan tidak ada larangan untuk nelayan berlindung di taman laut.

“Memang pulau-pulau kita adalah tempat berlindung bot nelayan dan kadang-kadang jadi tempat ambil bekalan.

“Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Tenggol, Pulau Lang Tengah biasa saja jadi tempat berlindung bot nelayan,” terang beliau.

Katanya, kawasan pulau yang diwartakan sebagai taman laut hanya tidak boleh aktiviti menangkap ikan.

“Yoo lah! Sambil berlindung tu awok-awok hulur pancing. Tak kan nak duduk saja. Perikanan mari tangkap,” tambahnya yang merujuk kes nelayan ditahan.

Menurutnya, perbuatan sebegitu antara punca nelayan ditangkap.

“Itulah puncanya kena tangkap, bukan sebab berlindung,” jelas beliau lagi.

Katanya, kawasan taman laut memang dipantau sepenuhnya oleh Unit Taman Laut Jabatan Perikanan Malaysia.

Di Terengganu terdapat empat gugusan pulau taman laut di iaitu gugusan Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Pulau Tenggol.

Gugusan Pulau Redang terdiri daripada 12 pulau iaitu Pulau Redang, Pulau Pinang, Pulau Ling, Pulau Ekor Tebu, Pulau Kerengga Besar, Pulau Kerengga Kecil, Pulau Paku Besar, Pulau Paku Kecil, Pulau Chupak, Pulau Yu Kecil, Pulau Yu Besar dan Pulau Lima (Limau).

Gugusan Pulau Perhentian terdiri daripada tiga pulau iaitu Pulau Perhentian Kecil, Pulau Perhentian Besar dan Pulau Susu Dara sementara gugusan Pulau Kapas dua pulau sahaja iaitu Pulau Kapas dan Pulau Gemia.

Pulau Tenggol pula terbentuk daripada enam buah pulau iaitu Pulau Tenggol, Pulau Nyireh, Pulau Tokong Timur, Pulau Tokong Talang, Pulau Tokong Burung dan Pulau Tokong Kemudi. – HARAKAHDAILY 1/2/2024

- Advertisement -